Ribut: Penduduk panjat bumbung flat pasang kanvas

Salah satu unit yang ditutup dengan kanvas setelah atap diterbangkan angin.
Salah satu unit yang ditutup dengan kanvas setelah atap diterbangkan angin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kejadian ribut pada petang Khamis mengakibatkan bumbung di tujuh blok Rumah Pangsa Pekaka, 3, Taman Perling di sini rosak dan diterbangkan angin.

Ribut yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa dan kecederaan penduduk.

Tinjauan Sinar Harian pada Khamis mendapati beberapa penduduk rumah pangsa berkenaan sibuk menjalankan kerja-kerja pembersihan termasuk ada yang berani memanjat bumbung bagi menutup unit kediaman dengan menggunakan kanvas.

Seorang penduduk mengambil inisiatif sendiri memasang kanvas bagi menggantikan kepungan atap yang diterbangkan angin.
Seorang penduduk mengambil inisiatif sendiri memasang kanvas bagi menggantikan kepungan atap yang diterbangkan angin.

Seorang penduduk, Tan Eng Swee, 54, berkata, kejadian ribut pernah berlaku sebelum ini, bagaimanapun kejadian semalam merupakan yang paling kuat hingga mengakibatkan bumbung di unitnya bergegar.

"Angin semalam memang kuat...sebelum ini pun memang ada angin bila hujan, tapi kali ni yang paling kuat.

"Jadi, saya harap masalah ini (kerosakan) dapat diatasi segera, lagi pun setiap kali hujan unit kediaman saya sering dimasuki air," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Untuk rekod, rumah pangsa berkenaan memiliki 276 unit rumah bagi sembilan blok dan dalam kejadian ribut berkenaan, tujuh blok terjejas melibatkan blok A, B, C, D, G, H dan J.

Kesemua unit yang terlibat merupakan unit yang berada di tingkat paling atas (tingkat 4).

Seorang lagi penduduk, Sofian Awi, 67, berkata, penduduk yang paling terkesan adalah mereka yang tinggal di tingkat paling atas (tingkat empat) kerana hanya aras berkenaan memiliki bumbung.

Artikel Berkaitan:

"Apa pun, kita sudah maklumkan perkara ini kepada pihak berkenaan dan berharap ada tindakan proaktif yang dilaksanakan," katanya.

Mengulas mengenai kerosakan dialami, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Pekaka 3, Khairul Anuar Mohd Isa, 52, berkata, pihaknya kini sedang menunggu pihak kontraktor menjalankan kerja-kerja pembaikan.

Katanya, laporan polis juga sudah dibuat berhubung perkara berkenaan selain pihak Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) turut turun padang bagi membantu penduduk pada Rabu.

"Kita juga ada terima aduan mengenai kepingan atap terkena kenderaan seperti cermin. Namun setakat ini tak ada laporan lagi mengenai kecederaan penduduk akibat ribut ini," katanya.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Datuk Abd Rashid Kasman mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd Haffiz Ahmad melawat ke rumah pangsa berkenaan pada Rabu.

Abd Rashid berkata, kerajaan negeri telah bersetuju untuk membantu memperbaiki kerosakan yang berlaku di rumah pangsa berkenaan dengan pelaksanaannya dibuat oleh pihak MBIP.