Polis terima 209 laporan kes hina Agong

Mohamad Fuzi Harun
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 209 laporan polis yang dibuat diseluruh negara ekoran perkongsian pemilik akaun Facebook Sabah-Sarawak Merdeka yang menghina Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, jumlah itu adalah setakat semalam.

"Usaha mengenal pasti dan mengesan pemilik akaun Facebook itu juga sedang dipertingkatkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Hina Agong perbuatan melampau

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, walaupun akaun Facebook itu telah disekat dan tidak lagi boleh diakses, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebar atau berkongsi tangkap layar (screen shot) perkongsian jelik dari Facebook melalui apa jua rangkaian komunikasi atau media sosial.

"Ini kerana perkongsian tersebut berupaya menimbulkan provokasi keterlaluan dan boleh menjejaskan ketenteraman awam," katanya.

Pada Rabu lalu, akaun Facebook bernama Sabah-Sarawak Merdeka memuat naik dua keping gambar secara berasingan yang disunting dengan unsur menjelikkan berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Gambar itu tular sehingga membangkitkan kemarahan netizen.

Laman itu mula diwujudkan pada 27 November tahun lalu dan mempunyai seramai 4,324 pengikut.