Konspirasi EU terhadap pengharaman minyak sawit?

No Image Caption
A
A
A

PROGRAM Sayangku Kelapa Sawit yang dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bertujuan memerangi kempen anti-sawit yang mengancam kehidupan rakyat dan pendapatan negara.

Isu minyak sawit dan cadangan pengharaman EU ini meninggalkan kesannya hampir ke segenap lapisan masyarakat; orang awam, ahli perniagaan, pemilik ladang apatah lagi pekebun kecil akan kehilangan pendapatan mereka.

Jika diteliti, wujud semacam konspirasi dalam pengharaman import ke atas minyak sawit ini. Ini dapat diteliti melalui proses dan langkah-langkah menuju ke arah pengharaman tersebut.

Sepanjang enam bulan lepas (sejak 2018), kita telah mendengar banyak berita mengenai Resolusi Kesatuan Eropah (EU) dan cadangan untuk mengharamkan import minyak sawit ke Eropah.

Cadangan Akta Perwakilan EU itu dijadual dibentangkan di Parlimen Eropah April ini, tambahan kepada draf pertama Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui EU II untuk melarang biofuel import minyak sawit menjelang 2030.

Latar kepada Resolusi EU yang membawa kepada cadangan pengharaman ini bermula pada 7 Disember 2015 apabila Pengisytiharan Amsterdam ditandatangani antara enam negara anggota EU iaitu Belanda, Britain, Denmark, Jerman, Norway dan Perancis.

Negara-negara ini telah mengisytiharkan diri mereka sebagai penyokong 100 peratus ke arah penggunaan minyak sawit mapan di Eropah dan mereka mahu negara sedang membangun menghentikan pembalakan haram serta penebangan hutan menjelang 2020.

Berikutan Deklarasi Amsterdam (2015), Direktorat Alam Sekitar, Kesihatan Awam dan keselamatan makanan (ENVI) telah menyediakan laporan mengenai minyak sawit dan penebangan hutan hujan yang telah dibentangkan kepada Ahli Parlimen EU (MEP) dan mendapat sokongan dengan undian memberangsangkan pada 4 April 2017.

Artikel Berkaitan:

Apa yang paling menonjol daripada laporan ENVI ialah produk kelapa sawit Malaysia didakwa sebagai punca utama kepada penebangan hutan hujan. Saranan-saranan laporan ENVI telah dipersetujui dan disokong oleh 640 ahli MEP.

Hanya 18 membantah manakala 18 berkecuali. Saranan-saranan dalam Laporan ENVI telah diluluskan dan dikenali sebagai Resolusi EU 2017.

Apakah maksud di sebaliknya apabila MEP EU mempersetujui dan mengundi menyokong Laporan ENVI mengenai Minyak Sawit dan penebangan hutan hujan tropika pada April 2017 itu?

Mereka mencadangkan pengharaman penggunaan minyak sayuran tidak mapan untuk biofuel menjelang 2020, iaitu tahun depan.

Mereka selanjutnya mencadangkan hanya minyak sawit mapan yang disahkan oleh skim tunggal pensijilan kemapanan EU akan dibenarkan memasuki EU selepas 2020.

Mereka terus mencadangkan kepada pengharaman penggunaan minyak sayuran tidak mapan untuk biofuel daripada memasuki EU menjelang 2030.

Lebih mengejutkan apabila Parlimen EU membuat undian sekali lagi pada 17 Januari 2018 mengenai pindaan kepada Direktorat Tenaga Diperbaharui II yang sekali gus meliputi Resolusi EU. Kali ini saranan-saranan lebih ketara dan telus iaitu minyak sawit telah dinamakan untuk pengharaman.

Sebarang biofuel berasaskan minyak sawit akan diharamkan langsung daripada memasuki EU menjelang 2021, dua tahun dari sekarang. Pergerakan pengharaman berlaku dengan pantas seperti dirancang, bagaikan konspirasi!

Bayangkan dalam jangka masa dua tahun sahaja resolusi dan undian telah dicapai. Bermula dengan Deklarasi Amsterdam (2015) kemudian pengamalan Laporan ENVI yang membawa kepada apa yang dikenali sebagai Resolusi EU diikuti dengan pindaan RED II.

Selepas dipersetujui MEP seterusnya ia masuk ke Sesi Trilog antara tiga pihak iaitu Parlimen EU, Majlis EU dan Suruhanjaya EU. Jika dialog tiga pihak ini berjaya mendapat konsensus untuk pengharaman minyak sawit, ia akan menjadi akta.

Jika rundingan gagal, seluruh proses itu akan diulangi. Apa yang berlaku ini bagai satu diskriminasi dengan dasar yang bersifat Aparthied ke atas minyak sawit.

Sehubungan itu, Malaysia dan Indonesia bersepakat membantah Arahan Tambahan Peraturan Perwakilan 2018/2001 Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui Kesatuan Eropah II di Brussels pada 8-9 April, 2019.

Menurut Kementerian Industri Utama, kedua-dua pengeluar utama minyak sawit dunia itu akan memulakan misi bersama ke Brussels di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

* Penulis ialah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor