Beberapa mangsa cedera insiden tembakan di luar kelab malam Melbourne

Anggota paramedik mengangkat seorang mangsa yang cedera.
A
A

SYDNEY - AUSTRALIA. Satu insiden tembakan di sebuah bandaraya Australia hari ini menyebabkan beberapa mangsa cedera, kata polis namun media tempatan melaporkan tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu.

"Pasukan penyiasat percaya beberapa orang mangsa ditembak di luar kelab malam berhampiran Little Chapel Street dan Malvern Road kira-kira pukul 3.20 pagi,” kata polis Victoria dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun pihak berkuasa tidak mendedahkan butiran lanjut dan keadaan mangsa, tetapi menyatakan kejadian tembakan itu berlaku di daerah Prahran di Melbourne.

Media tempatan melaporkan terdapat tiga atau empat mangsa terlibat.

“Jumlah sebenar mangsa masih dalam siasatan,” kata polis.

Insiden tembakan jarang berlaku di Australia, di mana undang-undang senjata api yang ketat diperkenalkan selepas 35 orang terbunuh pada 1996 dalam kejadian tembakan di Pelabuhan Arthur, Tasmania. – AFP


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia