Pekerja Jet Airways tuntut bayaran gaji

Pekerja Jet Airways berhimpun di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi semalam bagi menuntut bayaran gaji dan langkah segera menyelamatkan syarikat penerbangan itu. - Foto AFP
A
A

NEW DELHI - INDIA. Ratusan pekerja syarikat penerbangan Jet Airways mengadakan protes di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi semalam bagi menuntut bayaran gaji dan langkah segera menyelamatkan syarikat terbabit.

Jet Airways yang dibelenggu masalah hutang terpaksa menggantung semua penerbangan antarabangsa sehingga Isnin manakala hanya beberapa pesawat dari 119 yang dimiliki masih beroperasi.

Pernah menjadi syarikat penerbangan kedua terbesar di India, syarikat berpangkalan di Mumbai itu dilaporkan gagal melunaskan bayaran balik pinjaman selain tidak membayar gaji pekerja.

"Kita perlu mendapatkan dana segera, bukan selepas seminggu apabila ia sudah terlambat.

"Kita harus membuat bayaran agar dapat kembali beroperasi dan kembali menjana pendapatan," kata seorang juruterbang yang menyertai protes, Raman Sharma.

Sementara itu, kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi yang berhasrat untuk kekal memerintah bagi penggal kedua dilaporkan mengadakan mesyuarat membincangkan krisis berkenaan.

Media tempatan melaporkan Etihad Airways yang mempunyai 24 peratus pegangan saham melahirkan hasrat membeli Jet Airways.

Naresh Goyal yang merupakan pengasas syarikat penerbangan berkenaan namun meletak jawatan sebagai pengerusi bulan lalu turut dikatakan membuat tawaran. - AFP