Arca jerami jadi tarikan baharu

Taugeh bergambar bersama-sama arca yang dihasilkannya di Orang-Orang Art Cafe, Parit 3 Timur.
Taugeh bergambar bersama-sama arca yang dihasilkannya di Orang-Orang Art Cafe, Parit 3 Timur.
A
A
A

SABAK BERNAM - Jerami padi yang biasanya dibakar selepas musim menuai sebenarnya mampu mendatangkan manfaat apabila dijadikan arca berbentuk haiwan, manusia dan peralatan pertanian.

Bagi kartunis tanah air, Ruslan Ayob, 45, selain melukis, dia kini menceburi bidang baharu dalam seni pembuatan arca sejak tiga bulan lalu.

Ruslan atau lebih dikenali sebagai Taugeh berkata, sehingga kini dia sudah menghasilkan sebanyak lapan arca daripada jerami.

"Antara arca dihasilkan berbentuk manusia, kerbau, lembu dan rusa," katanya kepada Sinar Harian.

Taugeh yang menghasilkan arca dengan kerjasama pembantunya berkata, arca berbentuk haiwan misalnya mengambil tempoh masa kira-kira seminggu untuk disiapkan.

"Manakala, arca berbentuk manusia sekitar dua minggu untuk disiapkan kerana proses pembuatannya lebih rumit," katanya.

Taugeh berkata, arca yang dihasilkan di Orang-Orang Art Cafe, Parit 3 Timur itu dijual pada harga serendah RM500 hingga RM3, 000 bergantung pada saiz, proses penghasilan dan ketahanan arca terbabit.

Katanya, sehingga kini, sebanyak tiga arca dijual kepada pihak yang berminat dengan seni penghasilan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Malah, katanya, pihaknya menerusi Jari Seni Anak Tani (Jasat) membuka peluang kepada sesiapa berminat dalam penghasilan arca menyertai bengkel setiap Sabtu dan Ahad.

"Kita ingin mengumpul lebih ramai peserta yang ingin mempelajari seni ini sekali gus menjadi tarikan baharu kepada pengunjung untuk ke daerah Sabak Bernam," katanya.

Malah, katanya, dia merancang membuka sebuah galeri seni jerami padi pada masa depan.

"Saya merancang mengumpul semua arca di dalam galeri bagi membolehkan orang ramai melawat dan melihat sendiri hasil seni ini," katanya.