ECRL: Kerajaan perlu pertimbang kaedah perkongsian ekuiti

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disarankan untuk mengguna pakai kaedah perkongsian ekuiti sekiranya terdapat keperluan untuk membuat kontrak atau perjanjian baharu susulan pengumuman projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula pembinaan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer.

Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School (PBS) berkata, kaedah tersebut boleh dibuat dengan melaksanakan tender secara terbuka sekaligus melibatkan lebih banyak syarikat tempatan.

Beliau berkata, dengan ini pembiayaan untuk pembinaan baharu tidak akan melibatkan pinjaman semata-mata, tetapi ia lebih kepada perkongsian ekuiti yang secara tidak langsung akan mengurangkan risiko kepada satu pihak.

"Perjanjian seperti ini membolehkan untung rugi dikongsi secara bersama.

"Malah saya melihat Malaysia ada ruang untuk mendapatkan rakan kongsi yang baharu untuk melakukan pembinaan bagi jajaran stesen atau laluan baharu ini, "katanya ketika ditemui pada Seminar Ekonomi Hutang di Hotel Carlton Holiday, di sini hari ini.

Menurutnya, beliau berharap kerajaan tidak menggunakan model pembiayaan lama yang hanya bersifat pinjaman.

Katanya, untuk perjanjian lama, tidak kira sama ada negara berjaya memperoleh keuntungan atau tidak daripada perkhidmatan yang disediakan untuk projek ECRL, pinjaman tetap perlu dibayar.

"Tiada kompromi diberikan jika kita tak mampu bayar balik pinjaman kepada pemberi pinjaman dan dalam projek ini adalah China.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak mahu apa yang berlaku kepada Sri Lanka di mana mereka terpaksa memajakkan keseluruhan tanah-tanah di sekitar pelabuhan dan lapangan terbang mereka kepada syarikat China selama 99 tahun kerana tak mampu bayar balik pinjaman berlaku kepada negara," katanya.

Katanya, beliau berharap kerajaan dapat membuat analisa kos faedah dari projek ECRL ini tidak melebihi kos pembinaan, selain memastikan kos pembiayaan pinjaman tidak akan bertambah selepas ini.

Terdahulu, Wakil Khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin memberitahu projek ECRL disambung semula meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer, selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer.

Daim yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan berkata, ciri lain seperti landasan berkembar bagaimanapun masih dikekalkan seperti mana perjanjian asal.

Dalam perkembangan sama, Ahmed Razman turut memuji kerajaan kerana berjaya mengurangkan risiko pembiayaan dengan menurunkan kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL sebanyak RM21. 5 bilion daripada kos asal berjumlah RM65.5 bilion.

Bagaimanapun, masih terdapat baki pinjaman sebanyak RM44 bilion yang perlu dibayar oleh kerajaan untuk projek tersebut.

"Kita juga melihat impak positif lain apabila projek ECRL ini disambung semula, di mana perubahan jajaran stesen atau laluan itu akan memberi kesan yang baik kepada negeri terlibat.

"Ini kerana laluan baharu seperti Bangi, Kajang dan sebagainya masih ada kepadatan penduduk dan tenaga kerja yang tinggi dari segi kemahiran di sekitar stesen.. Malah stesen-stesen itu juga boleh dihubungkan dengan stesen lain seperti stesen komuter dan MRT, "katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Jarak landasan ECRL dikurangkan 40km: Tun Daim