Pastikan rakyat tidak terpinggir nikmati insentif

Halimaton Shaadiah (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan Tabung Khas Wanita kepada penerima DUN Bukit Lada, di Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena, hari ini.
Halimaton Shaadiah (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan Tabung Khas Wanita kepada penerima DUN Bukit Lada, di Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Data eKasih di Kedah masih perlu dikemas kini berikutan jumlah yang didaftarkan tidak menepati sasaran.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Kedah, Halimaton Shaadiah Saad berkata, kerajaan negeri akan menggiatkan usaha mengemas kini data terbabit kerana ia penting dalam mengenal pasti kumpulan sasaran.

"Sehubungan itu semua pihak termasuk pejabat daerah dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diminta memainkan peranan lebih aktif dalam mengenal pasti golongan yang layak berdaftar bawah eKasih.

“Berdasarkan data eKasih setakat 28 Januari 2019 mengikut daerah, beberapa kawasan yang diketahui paras kemiskinan tinggi tidak menunjukkan jumlah selari, contohnya Baling merekodkan jumlah miskin tegar/miskin sebanyak 667 orang, ini menunjukkan masih ada golongan yang layak belum daftar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan Tabung Khas Wanita DUN Bukit Lada di Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena di sini, hari ini.

Menurutnya, antara daerah yang menjadi tumpuan adalah Sik yang merekodkan 1311 orang, Kota Setar (874), Kuala Muda (636), Kubang Pasu (530) serta Padang Terap (503).

“Jika mereka tidak tersenarai, sukar untuk kita salurkan kemudahan untuk mereka. Mereka sendiri perlu tampil dan buat semakan di pejabat daerah masing-masing,” katanya.

Halimaton Shaadiah berkata, pihaknya akan mengarahkan MPKK membantu mengesan individu yang layak didaftarkan bawah eKasih supaya insentif yang ditawarkan kerajaan Pusat seperti program Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) dan program Rebat Bil Elektrik, dapat dinikmati golongan terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga akan menggiatkan usaha melengkapkan data eKasih dengan turun padang ke kawasan termasuk berkunjung dari rumah ke rumah untuk menyemak status keluarga itu.

“Kita bimbang jika ada yang tercicir menyebabkan mereka terlepas daripada menikmati insentif yang diberikan, kita tak mahu lagi dengar ada individu yang layak namun tercicir kerana tidak daftar dengan eKasih,” katanya.