Kemenangan BN bukti ummah telah bangkit: Ahmad Jazlan

Calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap pada sidang media selepas diumumkan memenangi kerusi DUN Rantau di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sri Sendayan malam ini. -Foto Bernama
Calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap pada sidang media selepas diumumkan memenangi kerusi DUN Rantau di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sri Sendayan malam ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemenangan BN dalam PRK DUN Rantau merupakan mesej kepada PH bahawa rakyat telah bangkit dan bersama-sama Pas dan UMNO dalam perjuangan gabungan ummah.

Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, kejayaan Datuk Seri Mohamad Hasan juga membuktikan rakyat mula sedar penyatuan itu bakal memberi makna kepada negara dan Islam.

Menurutnya, penyatuan tersebut bukan sahaja mendapat sokongan orang Melayu - Islam malah dari kaum dan agama lain juga.

“Ini kerana kita tidak pernah menafikan hak dan bantuan kepada mereka malah kita telah berjaya mengekalkan keharmonian dan keamanan selama lebih 60 tahun. Kemenangan ini bukan kemenangan mutlak UMNO, ia adalah hasil penyatuan dan sokongan tanpa berbelah bahagi dari rakan ummah Pas yang bersungguh-sungguh membantu kita.

“Ia amat bermakna. Kemenangan ini juga hasil kerja keras dari rakan-rakan parti komponen BN. Tahniah dan terima kasih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad mempertahankan kerusi DUN Rantau selepas menewaskan tiga lagi lawannya, Dr S Streram dari PH dan dua calon Bebas, Mohd Nor Yassin dan R Malar.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menang dengan majoriti 4,510 undi selepas memperoleh 10,397 undi sementara Dr Streram mendapat 5,887 undi; Mohd Nor dengan 79 undi dan R Malar memperoleh 83 undi.

Untuk rekod, Mohamad yang merupakan anak jati Rantau mula bertanding di kerusi itu pada PRU11 pada 2004, menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengekalkan rekod cemerlang dengan menewaskan calon wanita PKR, Aishah Lamsah, dua kali berturut-turut iaitu pada PRU12 dan PRU13, masing-masing dengan majoriti 3,783 undi dan 4,613 undi.