Personaliti calon penyumbang peratusan keluar undi tinggi: SPR

Keputusan PRK DUN Rantau menyaksikan BN yang diwakili oleh Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mempertahankan itu dengan majoriti 4,510 undi. - Foto Adam Amir Hamzah
Keputusan PRK DUN Rantau menyaksikan BN yang diwakili oleh Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mempertahankan itu dengan majoriti 4,510 undi. - Foto Adam Amir Hamzah
A
A
A

SEREMBAN - Faktor personaliti calon yang bertanding menyumbang kepada jumlah peratusan mengundi paling tinggi di PRK DUN Rantau iaitu sebanyak 79.3 peratus.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, selain itu kesedaran pengundi yang semakin bertambah turut menyumbang kepada peratusan itu.

"Saya agak gembira kerana semua pengundi keluar mengundi dengan aman sehingga peratusan keluar mengundi ini paling tinggi. Peratusan ini mula naik sedikit demi sedikit selepas PRK Port Dickson dan klimaksnya di PRK DUN Rantau.

"Dari pihak SPR, kita buat kempen seperti biasa. Selain itu, media massa juga berjaya menaikkan minat pengundi untuk keluar mengundi," katanya kepada media selepas pengumuman rasmi keputusan PRK DUN Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, setakat semalam sebanyak 23 kesalahan direkodkan pihak pemantau dan 50 laporan polis telah dibuat.

"Secara amnya ia melibatkan kesalahan kecil seperti memasang banner yang tiada nama pencetak dan kempen tiada permit," katanya.

Ditanya mengenai aspek boleh diperbaiki dalam PRK Sandakan, Azhar berharap penyokong dan parti-parti politik dapat mengikut peraturan dan undang-undang pilihan raya.

"Kita perlu hormati undang-undang, kalau tak kita akan kacau bilau," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Rantau Tok Mat 'punya'

Keputusan PRK DUN Rantau menyaksikan BN yang diwakili oleh Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mempertahankan itu dengan majoriti 4,510 undi.

Mohamad memperoleh 10,397 undi sekaligus menewaskan calon PH, Dr S Streram yang mendapat 5,887 undi.

Dua calon Bebas iaitu R Malar memperolehi 83 undi manakala Mohd Nor Yassin 79 undi sekaligus menyebabkan mereka hilang wang deposit.