KBS jamin pasukan pro sertai LTDL tahun depan

Foto Youtube
Foto Youtube
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan hari ini memberi jaminan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan akan turut disertai pasukan Jelajah Profesional (Pro Tour).

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Human Voyage (M) Sdn Bhd yang menguruskan LTdL 2019 mempunyai masa yang panjang untuk memastikan penyertaan pasukan bertaraf Pro Tour pada perlumbaan berbasikal terbesar rantau ini tahun depan.

"Pada tahun depan tidak akan berulang, kita lihat pun penganjur dilantik untuk tempoh tiga tahun maksudnya mereka akan ada masa bersedia dan pastikan tarikh penganjuran tidak bertindih bagi pastikan pasukan Pro Tour turut sama menyertai LTdL tahun depan.

"Dalam masa yang singkat penganjuran dapat digerakkan dengan begitu baik dengan kos paling rendah dalam sejarah Malaysia menggunakan dana kerajaan. Kita lihat liputan media dalam dan luar negara termasuk oleh beberapa rangkaian sukan seperti Al-Jazeera, saya fikir ini sangat baik, bayangkan apa yang mereka boleh lakukan tahun depan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ketiadaan pasukan bertaraf Pro Tour pada edisi LTdl ke-24 yang berakhir hari ini.

Syed Saddiq berkata, secara keseluruhan beliau sangat gembira dengan penganjuran LTdL 2019 yang disifatkannya sebagai berjaya.

Menurut beliau penganjuran LTdL tahun ini memberi kejayaan bermakna apabila membawa perlumbaan tersebut semula ke Langkawi pada dua peringkat terakhir selain mengembalikan peringkat perlumbaan Genting Highlands yang sudah lama dinantikan pelumba asing.

"Saya sangat gembira. Saya juga berharap mungkin pada tahun depan dengan kerjasama agak baik daripada pihak penganjur mungkin kita boleh bawa LTdL ke Sabah atau Sarawak untuk pastikan bahawa kita muktamadkan perlumbaan ini di seluruh Malaysia," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: