Jerman masih mencari kemenangan di Qatar

Fuellkrug (dua kiri) menjaringkan gol penyamaan buat Jerman ketika berdepan Sepanyol di Stadium Al Bayt. FOTO: EPA
Fuellkrug (dua kiri) menjaringkan gol penyamaan buat Jerman ketika berdepan Sepanyol di Stadium Al Bayt. FOTO: EPA
A
A
A

JERMAN masih terus mencari kemenangan pertama pusingan akhir Piala Dunia Qatar 2022 apabila sekadar melakar keputusan seri 1-1 berdepan Sepanyol dalam perlawanan Kumpulan E di Stadium Al Bayt.

Selepas dikejutkan kekalahan 2-1 kepada Jepun dalam perlawanan di Stadium Antarabangsa Khalifa pada 23 November lalu, skuad kendalian Hansi Flick tiada pilihan kecuali menang untuk menghidupkan kembali laluan ke pusingan 16 terbaik

Namun Sepanyol kendalian Luis Enrique yang masih segar kemenangan 7-0 ke atas Costa Rica di Stadium Al Thumama pada 24 November lalu ternyata terlalu ampuh mengekalkan rentak kemenangan perlawanan pertama menyaksikan kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan terikat tanpa jaringan.

Pemain gantian La Roja, Alvaro Morata yang mengantikan Ferran Torres pada minit ke-54', menterjemahkan hantaran Jordi Alba untuk gol pemain Atlético de Madrid itu pada minit ke-62'.

Ketika Sepanyol berkira-kira untuk melakar kemenangan kedua, pemain kelab Bundesliga Jerman, Werder Breman Niclas Fullkrug yang mengantikan Thomas Müller pada minit ke-70' meledak gol penyamaan pada minit ke-83' selepas menyudahkan sentuhan Jamal Musiala.

Jaringan Fullkrug pada lewat perlawanan itu menyaksikan Jerman kini menghuni tangga tercorot dalam kalangan empat pasukan setelah mengumpul satu mata dari dua perlawanan.

Sepanyol pula gah menerajui kumpulan dengan empat mata diikuti Jepun (tiga mata) dan Costa Rica (tiga mata) dengan masing-masing berbaki satu perlawanan.

Artikel Berkaitan: