Gesa Hospital Gerik dinaik taraf

Keadaan Hospital Gerik yang masih mendambakan inisiatif menaik taraf kemudahan hosoital itu daripada Kerajaan Pusat sebagaimana dijanjikan PH selepas memenangi PRU14, tahun lalu. Gambar kecil: Mohd Isa & Mohd Izham
Keadaan Hospital Gerik yang masih mendambakan inisiatif menaik taraf kemudahan hosoital itu daripada Kerajaan Pusat sebagaimana dijanjikan PH selepas memenangi PRU14, tahun lalu. Gambar kecil: Mohd Isa & Mohd Izham
A
A
A

GERIK - Persatuan Anak Gerik di Perantauan (Pagar) menggesa kerajaan Pusat mempercepatkan inisiatif menaik taraf Hospital Gerik kepada hospital bertaraf pakar dalam tempoh segera demi kemudahan penduduk kawasan Gerik dan daerah Hulu Perak.

Pengerusinya, Tajuddin Mohd Ali berkata, gesaan itu dibuat susulan janji kerajaan Pusat melalui Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan Hospital Gerik merupakan salah sebuah daripada 11 hospital daerah di seluruh negara bakal dinaik taraf untuk disediakan kemudahan pakar, tidak lama selepas PH memenangi PRU14 tahun lalu.

Menurutnya, inisiatif menaik taraf Hospital Gerik kepada hospital bertaraf pakar amat penting kerana jarak kedudukan daerah Gerik dengan hospital bertaraf pakar berhampiran di Perak seperti Hospital Taiping dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh amat jauh.

"Jarak perjalanan amat jauh ini menyukarkan penduduk kampung kurang berkemampuan berulang-alik ke dua hospital bertaraf pakar tersebut sekiranya ahli keluarga mereka yang sakit dipindahkan ke sana.

"Kerajaan perlu mengakui kemudahan dan peralatan perubatan terdapat di Hospital Gerik amat terhad dan sekiranya seseorang pesakit mengalami penyakit atau kes kecederaan kritikal, mereka terpaksa dipindahkan ke Hospital Taiping dan Ipoh yang lebih lengkap kemudahan.

"Bayangkan dengan jarak perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh lebih sejam dan jarak ke Hospital Taiping hampir dua jam, pesakit kritikal berisiko tinggi tidak dapat diselamatkan, bahkan terdapat banyak kes kemalangan kritikal di mana pesakit mati dalam perjalanan kerana tidak sempat menerima rawatan segera," katanya kepada media di sini hari ini.

Gesaan sama dipersetujui seorang usahawan tempatan, Mohd Isa Ramly, 46, mengakui ramai dalam kalangan penduduk Gerik terpaksa menghabiskan wang ratusan ringgit menanggung kos sewa penginapan, perjalanan dan makan minum sekiranya ahli keluarga mereka yang sakit dipindahkan ke Hospital Ipoh dan Taiping.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih malang sekiranya sesebuah keluarga itu kurang berkemampuan di mana jarak perjalanan dari Gerik ke Ipoh dan Taiping yang jauh menyebabkan mereka kadangkala terpaksa bermalam di hospital demi menjaga ahli keluarga sakit.

Artikel Berkaitan:

"Masalah ini bukan sahaja dihadapi penduduk Gerik, bahkan penduduk daerah Hulu Perak lain seperti Pengkalan Hulu dan Lenggong turut terkesan teruk.

"Sama juga sekiranya proses kelahiran bayi memerlukan pembedahan, pesakit terpaksa dihantar ke Ipoh dan Taiping, malahan ramai penduduk di sini terpaksa melahirkan anak di Hospital Baling kerana kemudahan terhad terdapat di Hospital Gerik," katanya.

Bagi jurujual, Mohd Izham Badaruddin,42, berkata, sudah tiba masanya kerajaan PH bersikap prihatin terhadap masyarakat luar bandar terutama penduduk daerah Hulu Perak dalam menyediakan kemudahan kesihatan bertaraf dunia dan memberi keselesaan kepada mereka.

"Inisiatif menaik taraf Hospital Gerik kepada hospital bertaraf pakar sebenarnya secara tidak langsung turut menyumbang kepada pengurangan masalah kesesakan pesakit di Hospital Ipoh dan Hospital Taiping, di mana para pesakit dari sini tidak lagi perlu menempuh perjalanan jauh ke sana.

"Pada masa sama, kemudahan kesihatan berkualiti tinggi di Hospital Gerik kelak mampu menarik kehadiran pengunjung dari negara jiran seperti Betong, Thailand untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan pada harga berpatutan, sekali gus menggalakkan industri pelancongan perubatan di daerah Hulu Perak," katanya.