Perak Utara perlu cawangan sekolah sukan negeri

Noor Azmi (depan, tiga dari kiri) meraikan sambutan ulang tahun hari kelahiran pegawai-pegawai PPD Kerian pada Program Santai Bersama Ahli Parlimen Bagan Serai di Taiping, hari ini.
Noor Azmi (depan, tiga dari kiri) meraikan sambutan ulang tahun hari kelahiran pegawai-pegawai PPD Kerian pada Program Santai Bersama Ahli Parlimen Bagan Serai di Taiping, hari ini.
A
A
A

TAIPING - Sebuah cawangan sekolah sukan negeri Perak perlu diwujudkan di zon Perak Utara bagi memastikan kesinambungan bakat-bakat sukan dari sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dapat dioptimumkan dan tiada keciciran pada masa hadapan.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, setakat ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh dipilih sebagai sekolah sukan negeri Perak, namun kewujudan sekolah itu tidak mencukupi bagi menampung keperluan bakat-bakat baharu dari kalangan sekolah-sekolah luar bandar di zon Perak Utara.

Menurutnya, sebagai bukti, daerah Kerian masih mampu melahirkan bakat-bakat sukan bertaraf dunia termasuk kejayaan juara dunia Muay Thai, Muhammad Firdaus Zulkifli,15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perak memenangi kategori 45 kilogram pada Kejohanan Muay Thai Sedunia ke-16 di Bangkok Thailand, bulan lalu.

"Selain itu, saya difahamkan ramai dalam kalangan pemain pasukan hoki negeri Perak yang menjuarai Liga Hoki Remaja Kebangsaan bagi dua tahun berturut-turut adalah dicungkil bakat dari daerah Kerian.

"Kejayaan cemerlang daerah Kerian dan daerah lain di zon Perak Utara dalam bidang sukan seharusnya membuka mata kerajaan negeri dan pusat bahawa usaha mewujudkan sebuah sekolah sukan negeri lain di kawasan sini kini sudah menjadi keperluan mendesak," katanya kepada media pada Program Santai Warga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian bersamanya di sebuah hotel di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Kerian, Sepiah Mohd Saphi.

Noor Azmi berkata, ramai bakat sukan dari kalangan pelajar kurang berkemampuan di daerah Kerian tidak mampu untuk meneruskan pengajian di SMK Gunung Rapat atas pelbagai sebab tidak dapat dielakkan seperti sukar berjauhan dengan keluarga dan sebagainya.

Menurutnya, selain inisiatif menaik taraf kemudahan mana-mana sekolah berkelayakan di zon Perak Utara untuk dijadikan cawangan sekolah sukan negeri pertama, pihaknya turut meminta Kementerian Pendidikan (KPM) memperkasakan kemudahan sukan terutama padang turf hoki.

Artikel Berkaitan:

Mengenai gesaan pembinaan sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di daerah Kerian, Noor Azmi menegaskan satu kertas kerja cadangan itu sudah disiapkan PPD Kerian untuk dipertimbangkan KPM.

Menurutnya, cadangan lokasi pembinaan sekolah itu turut dikenal pasti di kawasan Matang Gerdu, Bagan Serai yang mempunyai tanah kerajaan seluas 18 hektar.

"Sudah tiba masanya daerah Kerian mempunyai sebuah SBP memandangkan pelajar daerah ini berterusan mempamerkan keputusan cemerlang dalam kesemua peperiksaan utama seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Pembinaan sebuah SBP di daerah Kerian dapat memastikan daerah ini tidak kehilangan pelajar-pelajar cemerlang untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan pendidikan daerah di samping menjimatkan kos perbelanjaan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke situ," katanya.