Ramadan masa terbaik henti merokok

NORHASPIDA YATIM

Mohd menandatangani gegantung kempen jauhi asap rokok dan tembakau selepas merasmikan Kempen Hidup Aktif – Walk Peringkat Negeri 2019 di Dataran Shahbandar, di sini hari ini.
Mohd menandatangani gegantung kempen jauhi asap rokok dan tembakau selepas merasmikan Kempen Hidup Aktif – Walk Peringkat Negeri 2019 di Dataran Shahbandar, di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Terengganu menyarankan individu yang masih merokok di negeri ini untuk mengambil peluang berhenti merokok sempena kehadiran bulan Ramadan tidak lama lagi.

Pengarahnya, Dr Mohd Jusoh berkata, ia bertepatan dengan Program Nafas Baharu Bermula Ramadan bersama Sambutan Hari Tanpa Tembakau pada 31 Mei saban tahun, bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap kesan negatif tembakau kepada kesihatan paru-paru.

“Sempena Ramadan yang dijangka akan tiba pada 5 Mei depan, bagi yang masih merokok ambil peluang untuk berhenti merokok.

“Kalau waktu siang kita boleh berpuasa tanpa merokok, apa kata ia diteruskan pada sebelah malam dan hari-hari seterusnya. Semoga dengan ikhtiar itu kita akan berjaya untuk berhenti merokok,” katanya selepas merasmikan Kempen Hidup Aktif – Walk Peringkat Negeri 2019 di Dataran Shahbandar, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd turut menarik perhatian mengenai 43 buah Klinik Kesihatan Negeri yang menyediakan khidmat Klinik Berhenti Merokok (KBM).

Mohd (tengah) melihat antara contoh sebenar organ yang diserang kanser antaranya paru-paru yang dipamerkan sempena Kempen Hidup Aktif – Walk Peringkat Negeri 2019 di Dataran Shahbandar di sini hari ini.
Mohd (tengah) melihat antara contoh sebenar organ yang diserang kanser antaranya paru-paru yang dipamerkan sempena Kempen Hidup Aktif – Walk Peringkat Negeri 2019 di Dataran Shahbandar di sini hari ini.

“Bagi mengurangkan beban penyakit akibat tembakau, Jabatan Kesihatan menyediakan perkhidmatan KBM. Sehingga Disember 2018, sebanyak 516 klien KBM berdaftar dan seramai 242 klien telah berjaya berhenti merokok.

“Perkhidmatan yang ditawarkan secara kaunseling atau menggunakan ubat perawatan ketagihan nikotin. Sebanyak 111 klien (46 peratus) berjaya berhenti merokok dengan menggunakan perkhidmatan kaunseling sahaja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ditanya mengenai aktiviti kawalan hasil tembakau, katanya, Jabatan Kesihatan negeri akan terus menjalankan aktiviti penguatkuasaan.

“Setakat ini terdapat 23 kawasan larangan merokok. Kita jalankan penguatkuasaan secara berterusan seluruh negeri untuk pastikan masyarakat patuhi peraturan di bawah kawalan hasil tembakau.

“Seramai 283 orang anggota kita sentiasa bersedia jalankan penguatkuasaan secara berkala. Kita akan adakan penguatkuasaan secara bersepadu dan mengikut daerah, supaya mereka patuhi larangan yang ditetapkan,” katanya.