'Jangan tertipu alat jimat elektrik'

Dr Jasrul (kanan) bersama Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse (dua,kiri) merasmikan karnival Jom Kurangkan Bil Elektrik di Sekolah Tun Fatimah, hari ini.
Dr Jasrul (kanan) bersama Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse (dua,kiri) merasmikan karnival Jom Kurangkan Bil Elektrik di Sekolah Tun Fatimah, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Ramai pengguna tertipu dengan alat penjimatan elektrik dijual di pasaran yang didakwa mampu mengurangkan bil bulanan.

Pengarah Program Jom Kurangkan Bil Elektrik, Dr Jasrul Jamani Jamian berkata tiada sebarang alat boleh mengurangkan bil sebaliknya cara penggunaan yang berhemah mampu mengawal bil daripada melambung.

"Ramai pengguna tertipu dengan alat jimat elektrik yang sebenarnya tak berfungsi pun. Memang angka dalam video testimoni nampak turun tapi itu nilai arus bukan tenaga.

"Kita dicaj penggunaan tenaga bukannya arus. Dalam alat itu memang ada kapasitor yang bekalkan arus jadi bil tak kurang pun.

"Sebenarnya tiada alat boleh kurangkan bil elektrik melainkan penggunaan yang berhemah," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada perasmian Program Jom Kurangkan Bil Elektrik di Sekolah Tun Fatimah, hari ini.

Panel solar yang dipasang di wakaf Galeri Doktor Muda, Sekolah Tun Fatimah.
Panel solar yang dipasang di wakaf Galeri Doktor Muda, Sekolah Tun Fatimah.

Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan Sekolah Kejuruteraan Elektrik UTM berkata penggunaan alat yang tidak cekap akan menyumbang kepada peningkatan penggunaan tenaga.

"Contohnya penyaman udara yang murah tapi kecekapannya rendah menyebabkan banyak tenaga digunakan untuk beroperasi jadi bil melambung tiap bulan.

Artikel Berkaitan:

"Kemudian beza lampu biasa dengan LED (diod pemancar cahaya) juga mempengaruhi penggunaan elektrik yang mana lampu LED lebih membantu pengguna menjimatkan bil elektrik," katanya.

Selain itu, melalui program sama, UTM menukar 130 lampu di Sekolah Tun Fatimah dan membangunkan sistem solar di wakaf Galeri Doktor Muda.

Katanya, sistem solar yang tidak bersambung dengan sebarang sistem Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau dipanggil 'off grid' boleh dipasang di rumah.