Raja Muda Perlis puji tindakan pantas masyarakat

Syed Faizuddin berjalan di atas titian kanopi yang terdapat di Stesen Penyelidikan Mata Ayer, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), kelmarin.
Syed Faizuddin berjalan di atas titian kanopi yang terdapat di Stesen Penyelidikan Mata Ayer, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), kelmarin.
A
A
A

PADANG BESAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail memuji langkah pantas yang diambil penduduk setempat di Pantai Sungai Bahru, di sini yang melaporkan mengenai pendaratan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sehingga berjaya ditangkap pada Mac dan 8 April lalu.

Tuanku bertitah, memandangkan anggota dan aset sedia ada sangat terhad untuk pihak berkuasa melakukan rondaan dengan kerap, maka maklumat daripada masyarakat memainkan peranan yang sangat penting.

"Tindakan penduduk ini membantu pihak penguat kuasa dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negeri ini dan juga negara kita secara amnya dapat dipelihara dan dipertahankan," titahnya.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah ketika berkenan berangkat merasmikan program ‘Op Sifar Cicir Sekolah Peringkat SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah, SK Titi Tinggi dan SK Lubuk Sireh’ di Masjid An Nur, Kampung Chantek, Padang Besar (U), kelmarin.

Keberangkatan tiba baginda ke program anjuran Jabatan Pendidikan Perlis serta ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Kali ke 25 bagi tahun 2019’ itu disambut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menasihatkan rakyat supaya tidak melaporkan mengenai pemboloson PATI semata-mata, tetapi hendaklah juga menjadi mata dan telinga untuk pihak berkuasa dengan melaporkan mengenai apa sahaja yang didapati mencurigakan.

"Ia termasuklah sarang dadah dan ketum, ajaran sesat, penyeludupan dan pemerdagangan senjata api atau barang terlarang, perjudian haram, pencerobohan hutan, lokasi-lokasi lepak pelajar ponteng sekolah dan lain-lain lagi supaya tindakan awal sewajarnya dapat diambil sebelum melarat dan tidak lagi dapat dibendung," titahnya.

Sejurus selepas majlis tersebut baginda meluangkan masa melawat satu lagi lokasi pelancongan menarik di negeri ini iaitu dengan menyertai aktiviti berjalan di atas titian kanopi yang terdapat di Stesen Penyelidikan Mata Ayer, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang juga dikenali sebagai SPF Mata Ayer Perlis yang mempunyai ketinggian 17 meter.

Artikel Berkaitan: