Sindiket jual jam, beg tangan mewah tumpas

No Image Caption
A
A
A


JOHOR BAHRU - Polis Johor menumpaskan sindiket menjual jam tangan dan beg tangan mewah yang menyasarkan ahli perniagaan melibatkan kerugian RM20 juta selepas menahan seorang lelaki tempatan di Kuala Lumpur pada Ahad.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menerima empat laporan polis daripada ahli perniagaan berusia 31 hingga 40 tahun yang menjadi mangsa sindiket terbabit.

"Mereka membuat laporan polis antara tempoh Ogos hingga November ini sebelum pihak polis menjalankan siasatan terhadap suspek terbabit yang berusia 32 tahun.

"Mangsa mendakwa telah ditipu dalam urusan pembelian jam tangan dan beg tangan edisi khas serta terhad melibatkan jenama mewah seperti Louis Vuitton (LV), Chanel, Dior, Hermes, Rolex, Patek Philippe dan Audemars Piguet melibatkan kerugian RM20 juta.



"Setakat ini terdapat empat mangsa di Johor dan seorang di Perak. Kemungkinan akan ada mangsa lain tetapi belum ada laporan diterima," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, modus operandi digunakan suspek adalah dengan menawarkan jam tangan dan beg tangan edisi mewah serta terhad kepada mangsa dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Jelasnya, mangsa akan berurusan secara bersemuka dengan suspek dan selepas bersetuju dengan harga ditawarkan serta membuat pembayaran ke dalam akaun yang diberikan.

"Setelah bayaran dibuat, suspek melarikan diri bersama-sama wang yang telah dibayar mangsa dan gagal dihubungi," jelasnya.

Bertindak atas maklumat yang diterima katanya, pihak polis berjaya mengesan dan menangkap suspek di sebuah premis kediaman di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada jam 4.45 petang Ahad.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, suspek telah dibawa balik ke Johor untuk siasatan terhadap empat kes yang dilaporkan di daerah ini dan Iskandar Puteri manakala siasatan turut mendapati suspek terlibat dengan modus operandi yang sama di IPK Perak

"Suspek kini dalam tahanan reman bermula Jumaat sehingga 27 November ini. Suspek diteman bagi kes di kontinjen Johor dan akan diserahkan kepada kontinjen Perak setelah siasatan selesai.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun, sebat atau denda," jelas beliau.