Negeri Sembilan bentang Belanjawan 2023, defisit RM100 juta

Aminuddin (empat dari kanan) bersedia untuk membuat pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat.
Aminuddin (empat dari kanan) bersedia untuk membuat pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan membentangkan Belanjawan 2023 dengan defisit berjumlah RM100 juta pada Jumaat.

Belanjawan yang bertemakan Melunas Janji Menggalas Harapan yang menyediakan sembilan bidang dengan 64 inisiatif itu melibatkan peruntukan membabitkan RM107 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Sikamat) berkata, anggaran belanja mengurus pada tahun hadapan adalah sebanyak RM550 juta berbanding anggaran hasil berjumlah RM450 juta, manakala peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan pula adalah sebanyak RM130 juta.

"Sungguhpun ia merupakan tahun ketiga pembentangan belanjawan secara defisit, namun ia dibuat secara bersasar dan masih dalam batas keupayaan rizab tunai negeri.

“Belanjawan defisit ini juga merupakan salah satu intervensi kerajaan negeri dalam merangsang ekonomi domestik berdasarkan model input-output yang dibangunkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2023 pada Persidangan Keempat (Belanjawan), Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di sini.

Menurutnya, hasil cukai dijangka menyumbang sebanyak RM159.84 juta atau 35.52 peratus pada tahun hadapan manakala hasil bukan cukai pula dijangka menyumbang sebanyak RM227.96 juta atau 50.66 peratus.

Jelasnya, terimaan bukan hasil pula dijangka akan diperolehi dijangka sebanyak RM62.20 juta ringgit atau 13.82 peratus.

“Hasil bukan cukai terus menjadi penyumbang utama melalui pelbagai hasil tanah, faedah pelaburan, caj air mentah, permit dan premium perhutanan.

Artikel Berkaitan:

“Penetapan anggaran hasil ini diunjurkan dengan teliti dan realistik setelah mengambil kira pelbagai indikator ekonomi seperti bilangan permohonan Kebenaran Merancang di pihak berkuasa tempatan (PBT) dan perluasan hasil,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, Belanjawan Negeri Sembilan 2022 akan dilaksana dengan memberikan fokus kepada sembilan bidang tumpuan.

Tambah beliau, bidang tumpuan itu adalah Jaminan Bekalan Makanan, Ekonomi Rakyat, Pendidikan, Kebajikan, Pemerkasaan Komuniti, Belia dan Wanita, Kerohanian dan Agama, Adat dan Pelancongan dan Pentadbiran.

"Kesemua inisiatif ini sama ada akan diteruskan, ditambah baik atau distruktur semula berdasarkan pencapaian outcome masing-masing.

"Bagi meneruskan transformasi tersebut, sukacita saya umumkan, sebanyak 22 inisiatif baharu akan diperkenalkan dan 42 inisiatif sedia ada akan dikekalkan, menjadikan jumlah inisiatif Belanjawan 2023 adalah sebanyak 64 inisiatif dengan peruntukan berjumlah RM107 juta.

Aminuddin dalam pada itu turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,500 kepada seramai 5,599 orang penjawat awam negeri ini.