Rombakan Exco Johor: Saya sedia, kata Jimmy Puah

Exco Kerajaan Johor, Jimmy Puah Wee Tse bersedia sekiranya Sultan Johor mahu merombak kembali kedudukan Exco di negeri ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Exco Kerajaan Johor, Jimmy Puah Wee Tse bersedia sekiranya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu merombak kembali kedudukan Exco di negeri ini.

Beliau yang memegang portfolio dalam Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pucuk pimpinan.

"Terpulang kepada atasan. Sudah tentu saya sedia sekiranya berlaku rombakan. Terpulang kepada pucuk pimpinan dan Sultan Johor," katanya ringkas ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Jom Kurangkan Bil Elektrik di Sekolah Tun Fatimah hari ini.

Pagi tadi, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata Sultan Ibrahim bertitah akan meletakkan beberapa syarat untuk bakal penggantinya termasuk merombak barisan Exco.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani turut memaklumkan Sultan Ibrahim sudah berkenan menerima surat peletakan jawatan dikemukakan Osman.

Istiadat Pelantikan Menteri Besar Johor ke-17 akan diadakan di Balai Mengadap Istana Bukit Serene jam 9.30 pagi esok.

ARTIKEL BERKAITAN Rombakan Exco syarat utama Sultan Johor


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia