Letupan Rapid Pengerang, Petronas perlu segera adakan sesi dialog

Jimmy menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak yang turut menjayakan Karnival Jom Jimat Elektrik di Sekolah Tun Fatimah, hari ini.
Jimmy menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak yang turut menjayakan Karnival Jom Jimat Elektrik di Sekolah Tun Fatimah, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri menggesa Petronas segera mengadakan sesi dialog dengan penduduk sekitar Kampung Lepau dan Taman Rengit Jaya.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berkata kebimbangan penduduk memuncak selepas kejadian letupan dan kebakaran awal pagi semalam itu.

"Kita minta Petronas adakan satu dialog dengan penduduk secepat mungkin sebab penduduk terutama di Kampung Lepau dan Rengit Jaya ada kebimbangan terhadap status mereka sekarang.

"Tapi dialog ini mesti ada wakil daripada kerajaan negeri seperti pejabat tanah, pegawai daerah dan lain-lain agensi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jom Jimat Elektrik di Sekolah Tun Fatimah hari ini.

Jimmy mendengar penerangan tentang langkah penjimatan elektrik pada Karnival Jom Jimat Elektrik anjuran UTM, Skudai di Sekolah Tun Fatimah, hari ini.
Jimmy mendengar penerangan tentang langkah penjimatan elektrik pada Karnival Jom Jimat Elektrik anjuran UTM, Skudai di Sekolah Tun Fatimah, hari ini.

Letupan dan kebakaran di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), Pengerang awal pagi semalam menggemparkan penduduk selepas gegaran dapat dirasai penduduk sekitar yang sedang nyenyak tidur.

Dalam pada itu, menurut Jimmy, sehingga hari ini punca sebenar kejadian masih belum dapat dikenal pasti.

"Sampai sekarang kita masih menanti punca letupan dan kebakaran berlaku tapi secara amnya sebab perpaipan, tiada kena mengena dengan tangki.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini mereka baru boleh masuk sebab sebelum ini keadaan terlalu panas. Selepas itu baru kita boleh kenal pasti punca kejadian dan apa tindakan daripada Petronas untuk memastikan perkara ini tidak berulang," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil berat isu tersebut dan sentiasa berkomunikasi dengan Petronas untuk memastikan kesejahteraan penduduk terjamin.

Jimmy diberi penerangan tentang sistem solar yang dipasang di Galeri Doktor Muda, Sekolah Tun Fatimah di sini hari ini.
Jimmy diberi penerangan tentang sistem solar yang dipasang di Galeri Doktor Muda, Sekolah Tun Fatimah di sini hari ini.

Tambahnya, Petronas tiada masalah untuk membayar ganti rugi kepada penduduk yang terjejas dan sehingga petang semalam sebanyak 39 mangsa telah membuat laporan polis.

"Saya sudah bincang dengan Petronas dan pihaknya akan membayar ganti rugi sekiranya dapat dibuktikan kerosakan akibat letupan itu.

"Kita juga akan arahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat siasatan dan sekiranya perlu kita berikan bantuan dahulu," katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas soal sistem solar yang dipasang Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Galeri Doktor Muda, Sekolah Tun Fatimah, Jimmy berkata kerajaan negeri turut dalam proses untuk mengaplikasikan sistem sama di beberapa bangunan kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN Dua cedera Rapid Pengerang meletup