Kritik UMNO, bukan kritik Melayu: Kulasegaran

M Kulasegaran
M Kulasegaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mempertahankan ucapannya dalam kempen PRK DUN Rantau yang mengundang kecaman pemimpin UMNO baru-baru ini.

Bahkan, Kulasegaran turut membidas kenyataan pemimpin Pemuda UMNO yang mendakwa beliau menghasut masyarakat India di Rantau untuk membenci Melayu dan menganggap ia adalah kenyataan palsu.

Menurutnya, dalam ucapan tersebut, beliau hanya mengkritik UMNO, bukannya orang Melayu dan UMNO tidak mewakili semua orang Melayu di Malaysia.

“Saya juga dituduh menghina Agong (Yang di-Pertuan Agong) dan Permaisuri, itu sangat keterlaluan. Apa saya sebut adalah ‘orang yang hidup umpama raja dan permaisuri’.

“Ia bermaksud individu tertentu memiliki rumah mewah sedangkan ada rakyat lain tidak mampu untuk membelinya,” katanya dalam laman Facebook beliau, semalam.

Tegas Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, beliau sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pemimpin Pemuda UMNO.

“Kenyataan saya ditafsirkan secara ekstrem. Saya mahu ingatkan Pemuda UMNO, komuniti Melayu bukan hanya terdiri daripada penyokong UMNO,” ujarnya.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyanggah ucapan Kulasegaran di Rantau baru-baru ini dan mendakwa ia berbaur perkauman serta menyentuh institusi Diraja.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Naib Pengerusi DAP itu masih tidak belajar dari kesilapan lalu dan beliau menggesa tindakan diambil terhadap Kulasegaran.

“Di sebalik menggunakan Bahasa Tamil, YB Kulasegaran menuduh bahawa bangsa Melayu telah mendiskriminasi orang-orang India.

“Beliau dengan jelas menghasut masyarakat India dan mencetuskan sentimen kemarahan orang India terhadap orang Melayu dengan memberi tanggapan negatif layanan orang Melayu terhadap orang India di Malaysia selama ini,” tulis beliau dalam laman Facebooknya.