Guru perlu buat laporan jika murid didera - Hannah

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Guru perlu tampil membuat laporan kepada pihak-pihak berkaitan sekiranya mendapati murid mereka menjadi mangsa dera di rumah, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Katanya ini kerana kanak-kanak menghabiskan kebanyakan masa mereka di sekolah dan guru-guru berperanan untuk mengenal pasti kes penderaan menerusi penelitian tingkah laku mereka.

"Adalah menjadi tanggungjawab guru-guru untuk menangani kes penderaan kanak-kanak terutamanya di rumah (kerana) biasanya kanak-kanak sendiri tidak akan melaporkan kepada sesiapa kerana khuatir ibu bapa mereka akan dipanggil polis.

"Jika guru mendapati tingkah laku murid mereka agak berlainan dan pelik, mereka perlu segera mengenal pasti apa masalahnya dan jika didapati didera, mereka harus melaporkannya kepada Talian Nur 15999,” katanya.

Hannah berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Gerakan Massa 'Terima Kasih Cikgu' Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini. Katanya selain guru Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah juga turut berperanan menggerakkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa supaya tidak melepaskan tekanan mereka terhadap kanak-kanak di rumah.

"Tanggungjawab guru serta ibu bapa adalah penting untuk mengelak sebarang kecederaan ke atas kanak-kanak akibat tekanan oleh orang dewasa.

"Oleh itu, usaha pelbagai pihak terutamanya pihak sekolah dengan ibu bapa adalah penting untuk kami di kementerian bagi memastikan kes penderaan kanak-kanak dapat ditangani dengan lebih efektif," katanya.

Sebanyak 295 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terlibat dalam Gerakan Massa ‘Terima Kasih Cikgu’ yang diadakan sempena Hari Guru yang akan disambut pada 16 Mei ini.

Artikel Berkaitan:

Antara aktiviti yang diadakan ialah larian, sukaneka dan pameran sains dan robotik yang turut disertai 473 pelajar dan guru. - Bernama