Maqasiq Syariah perlu jadi dasar pemerintahan negara

 Dr Wan Azizah (tengah) palu gong sebagai simbolik perasmian Karnival Rahmah Parlimen Kuantan di dewan orang ramai di Kampung Belukar hari ini.
Dr Wan Azizah (tengah) palu gong sebagai simbolik perasmian Karnival Rahmah Parlimen Kuantan di dewan orang ramai di Kampung Belukar hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Konsep Maqasid Syariah seharusnya dijadikan dasar pemerintahan bagi memastikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati dan disegani dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pelaksanaan konsep itu juga mampu menyubur dan memantapkan prinsip Maqasid Syariah dalam semua aspek pentadbiran.

"Maqasid Syariah adalah kunci utama bagi melindungi, menyubur dan memantapkan prinsip, nilai Islam demi mencapai kepentingan dalam kehidupan, menjamin kemaslahatan, menyekat kemudaratan serta menolak kerosakan.

“Maqasid itu memberi maksud bahawa syariah mempunyai tujuan utama yang hendak dicapai. Setiap keputusan dan tindakan kita dalam konteks 'multiracial society' perlu dibuat secara berhati-hati dan berhemah supaya tidak timbul kebencian dan perselisihan agama dan kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan karnival Rahmah Parlimen Kuantan di dewan orang ramai di Kampung Belukar di sini, hari ini.

 Dr Wan Azizah (kanan) merasmikan Karnival Rahmah Parlimen Kuantan di dewan orang ramai di Kampung Belukar hari ini.
Dr Wan Azizah (kanan) merasmikan Karnival Rahmah Parlimen Kuantan di dewan orang ramai di Kampung Belukar hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; ADUN Teruntum, Sim Chon Siang; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Zolkharnain Abidin.

Menurutnya, pertimbangan yang menjadi kayu ukur semestinya berlandaskan nilai-nilai al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi asas bagi memelihara agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, keharmonian dan pembelaan aspek kebajikan semua kaum serta agama di negara penting dalam menjustifikasikan negara ke arah model Malaysia sebagai negara Islam disegani dunia.

"Perkara ini adalah ciri unik negara selari dengan tuntutan agama Islam. Kerajaan mahu mempraktikkan konsep 'Rahmatan Lil 'Alamin' yang membawa makna Islam sebagai agama pendamaian dan kasih sayang serta sistem Maqasid Syariah iaitu sistem tadbir urus yang adil.

"Kerajaan mahu mentadbir dengan baik dan teratur serta memerlukan kerjasama daripada rakyat. Jjadi kita tidak boleh terlalu taksub atau berdakwah secara provokatif kerana ia perlu dilakukan secara berhemah.

"Kita ini masyarakat berbilang kaum, ada Cina, India, Orang asal dan pelbagai suku kaum di Sabah dan Sarawak. Jangan timbulkan kebencian atau perselisihan antara kaum dan agama serta jangan ada rasa cemburu antara satu sama lain," katanya.

Menyentuh mengenai Karnival Rahmah yang diadakan itu, Wan Azizah berkata, ia satu program dakwah menyantuni masyarakat dalam berusaha menghayati Islam dan perjuangan Rasulullah SAW selaras dengan misi Rahmatan Lil’Alamin yang membawa mesej kedamaian, kesederhanaan, kasih sayang sesama Islam dan sejagat.

"Program ini akan dilebarkan lagi ke seluruh Negeri Pahang selepas ini agar lebih ramai yang dapat memahami dan menghayatinya," katanya.