Istiadat Menteri Besar Johor ke-17 esok

Johor
A
A

JOHOR BAHRU - Istiadat Pelantikan Menteri Besar Johor ke-17 akan diadakan di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, di sini pada jam 9.30 pagi esok.

Pengumuman itu susulan titah terbaharu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang telah berkenan menerima surat peletakan jawatan dikemukakan Datuk Osman Sapian, sebentar tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani berkata, pihaknya juga menerima makluman Tuanku Sultan juga sudah berkenan untuk melantik calon Menteri Besar Johor yang baharu.

“Sultan Ibrahim telah berkenan menerima peletakan jawatan Datuk Osman Sapian ketika pertemuannya di Istana Pasir Pelangi kira-kira jam 10 pagi tadi.

“Menjunjung titah, Tuanku juga telah berkenan untuk melantik Menteri Besar yang baharu dan istiadat penyerahan surat tauliah dan pengistiharaan pelantikan akan dilakukan esok,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pagi tadi, Osman memaklumkan kedudukan terkininya masih belum jelas susulan tiada surat rasmi diterima daripada pihak Sultan dan kepimpinan parti.

Pengumuman tersebut akhirnya menamatkan spekulasi sekali gus meyakinkan rakyat bahawa akan terdapat lantikan Menteri Besar baharu selepas ini.

Terdahulu, susulan berita peletakan jawatan Osman yang dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin lalu beberapa nama kemudian berlegar dan kuat diperkatakan bakal menjadi Menteri Besar Johor yang baharu.

Antara tiga nama yang disebut-sebut adalah Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri merangkap ADUN Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal.

Nama calon lain adalah Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang dan Pengarah Media Bersatu Johor, Solihan Badri.