Perak sumbang RM100,000 galak pendidikan STEM

Ahmad Faizal bersama peserta Program STEM Waves Perak di MAPS, Bandar Meru Raya di sini hari ini.
Ahmad Faizal bersama peserta Program STEM Waves Perak di MAPS, Bandar Meru Raya di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Sebanyak RM100,000 peruntukan daripada kerajaan Perak disumbangkan kepada Yayasan Pendidikan Perak yang baharu ditubuhkan dalam usaha menggalak pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Yayasan Pendidikan Perak merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merancang usaha meningkatkan kecemerlangan pelajar di semua peringkat di negeri ini.

Katanya, program STEM Waves Perak yang dianjurkan yayasan tersebut dengan kerjasama Universiti Teknologi Petronas (UTP) amat baik untuk memberi pendedahan kepada pelajar supaya meminati bidang STEM.

"Saya fikir ia amat baik untuk beri pendedahan kepada para pelajar tentang pendidikan STEM. Saya harap program seperti ini dapat diteruskan.

"Tentunya pihak kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sama ada dari segi peruntukan dan lain-lain. Kita akan sentiasa bagi sokongan untuk bekerjasama dan kita beri peruntukan seperti yang diumumkan RM100,000 untuk tahun ini," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan STEM Waves Perak dan Yayasan Pendidikan Perak di Taman Tema Animasi Studio (MAPS), Bandar Meru Raya, di sini.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib Pengerusi Yayasan Pendidikan Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim dan Pengerusi Program STEM Waves Perak, Prof Dr Noorhana Yahya.

Sementara itu, Mohamed Ibrahim berkata, UTP telah menubuhkan Pusat STEM tersendiri bagi menggalak minat pelajar terhadap pendidikan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain itu juga, pihak UTP turut berusaha bersama Yayasan Pendidikan Perak menubuhkan satu Pusat STEM di MAPS dengan sokongan kerajaan negeri.