Kekal tenang, percaya kepada Presiden: Bung Moktar

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta semua pihak bertenang dalam menghadapi senario politik semasa tanah air.

Beliau turut meminta semua pihak percaya dengan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Bagi pihak BN, saya berpendapat, kita komited dalam status pembangkang seperti yang diputuskan pucuk pimpinan.

"Bagaimanapun sekarang situasinya berbeza pula, kita jadi pembangkang pun kena bising, mahu pro sana pun kena bising, mahu pro situ pun kena bising.

"Jadi saya berharap semua pihak bertenang dan untuk kita di BN ini, saya berpendapat, kekal tenang dan percaya kepada Presiden," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut menyifatkan gesaan MCA yang mahu Ahmad Zahid berundur sebagai Pengerusi BN adalah kenyataan tidak berasas.

Beliau sebaliknya berkata, MCA perlu bertanyakan diri mereka terlebih dahulu bagaimana parti itu hanya mampu menang dua daripada puluhan kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Katanya, adalah tidak adil untuk menuding jari hanya kepada seorang pemimpin sahaja sedangkan kesalahan sendiri tidak diakui selain MCA dilihat tidak menghormati institusi Presiden selaku pucuk pimpinan dalam BN.

Artikel Berkaitan:

"MCA janganlah gesa itu ini. Ini gesa lagi Pengerusi kita berundur sedangkan mereka hanya menang dua kerusi daripada puluhan kerusi yang diberikan kepada mereka, itu pun kerusi yang ada ramai pengundi Melayu.

"Cerminlah diri terlebih dahulu sebelum buat keputusan, kita di BN ini tetap tenang menghadapi situasi, jangan kalutkan keadaan," katanya.

Sebelum itu, MCA mahu Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menggantikan Ahmad Zahid susulan pendedahan surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mendakwa gabungan terbabit menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.