Raih Anugerah Dekan walau pernah tangguh pengajian

Anisya (tengah) meraikan kejayaannya bersama keluarganya.
Anisya (tengah) meraikan kejayaannya bersama keluarganya.
A
A
A

SKUDAI - Biarpun pengajiannya pernah tertangguh selama setahun, namun ia tidak menghalang penuntut kurang upaya (OKU) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini untuk mencapai kejayaan diimpikannya.

Anisya Anis Sariff, 27, yang menghidap penyakit Bipolar Disorder berjaya menamatkan pengajiannya dalam jurusan Psikologi dan Pembangunan Sumber Manusia sempena Majlis Konvokesyen ke-66 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai pada Rabu.

Anak bongsu daripada empat beradik itu turut mencatat purata nilai gred (CGPA) 3.77 dan mendapat Anugerah Dekan.

Menceritakan mengenai kejayaannya itu, Anisya menyifatkan penyakit yang dihidapinya bukan penghalang untuknya menumpukan sepenuh perhatian kepada pembelajarannya di universiti.

Menurutnya, dia sentiasa mendapat sokongan daripada ibu bapa, rakan-rakan, pensyarah serta tunangnya.

“Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian saya di UTM.

“Sebenarnya saya juga berasa sebak kerana sebelum ini saya pernah berhenti belajar selama setahun, sebelum menyambung semula pengajian di Turkiye.

“Secara keseluruhannya, saya belajar di UTM selama lima tahun dan dua tahun lagi di luar negara sebelum menamatkan pengajian,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai kaedah dia menangani masalah Bipolar Disorder yang dialaminya, Anisya berkata, dia mendisiplinkan dirinya untuk mengambil ubat yang disyorkan selain mengikut sesi terapi.

“Kalau ikutkan, penyakit saya akan menjadikan saya sering kemurungan, sering mengalami delusi selain berhalusinasi.

“Alhamdulillah, saya dapat menanganinya hasil sokongan keluarga, tunang, rakan-rakan dan juga pensyarah," katanya.