Hukuman tegas individu hina institusi raja

Noraini turut mencadangkan kerajaan menjadikan Thailand sebagai contoh dalam mengambil tindakan terhadap individu yang menghina institusi beraja dengan undang-undang Les Majeste.
A
A

SHAH ALAM - Wanita UMNO menegaskan hanya dengan hukuman tegas dan setimpal dapat menjadi pengajaran kepada mereka yang menghina institusi raja.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, untuk itu, kerajaan PH digesa meneliti semula undang-undang sedia ada bagi tujuan mengekang perbuatan tersebut.

Menurutnya, undang-undang khas perlu digubal segera susulan beberapa insiden melibatkan pengguna media sosial memuat naik status, gambar yang disunting dan komen menghina institusi Raja-raja Melayu.

"Dalam kes terbaru, pembuli media sosial secara biadab, berani dan terbuka telah menghina Yang di-Pertuan Agong.

ARTIKEL BERKAITAN: Laman Facebook hina Agong akhirnya disekat

"Justeru, peruntukan dalam Akta Hasutan yang sedia ada perlu diteliti dan diperkukuhkan lagi bagi mengekang penghinaan terhadap raja berleluasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kecoh apabila akaun Facebook Sabah-Sarawak Merdeka memuat naik gambar baginda yang disunting dalam keadaan cukup mengaibkan.

Bukan hanya satu gambar, bahkan banyak gambar-gambar Yang di-Pertuan Agong yang disunting turut dimuat naik pemilik Facebook tersebut.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, pihaknya tidak mahu tindakan menghina institusi raja dalam kalangan pihak tertentu terus berlaku yang akhirnya menjadi virus dan rakyat terus dihasut membenci Raja-raja Melayu.

"Institusi raja mempunyai peranan dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini dan mendokong prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan boleh menjadikan Thailand sebagai contoh dalam mengambil tindakan terhadap individu-individu yang menghina institusi beraja dengan undang-undang Les Majeste seperti yang diamalkan," katanya.