Balai bomba sukarela terbakar

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Sebuah balai bomba sukarela di Kampung Perting, Bentong terbakar dalam kejadian awal pagi tadi dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, dalam kejadian pada jam 1.36 pagi itu, sebuah bot milik balai bomba berkenaan dan sebuah motosikal milik anggota sukarela turut rosak akibat kebakaran itu.

“Hasil tindakan pantas anggota bomba yang berada di balai berkenaan, kebakaran dapat dipadamkan daripada merebak dan hanya empat peratus daripada bangunan balai berkenaan terjejas akibat kebakaran itu.

“Kita tidak menolak wujudnya unsur khianat dalam kejadian itu, berdasarkan siasatan awal yang dilakukan Jabatan Forensik JBPM yang mendapati terdapat kesan bahan bakar di kawasan kejadian,” katanya pada Pertandingan Emergency Response Team (ERT) 2019 di Pekarangan Stadium Darul Makmur di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Nor Hisham berkata, tiada mangsa tercedera dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, pertandingan yang julung kali diadakan itu bertujuan mengukuhkan ikatan antara bomba dan pasukan ERT di negeri ini.

“Ia mengukur tahap prestasi pasukan yang terlibat apabila mereka diwajibkan berlatih selama 28 jam sebagai syarat untuk menyertai pertandingan ini.

“Kita juga mahu pasukan ERT ini menjadi mata dan telinga pihak JBPM, dengan mendedahkan mereka sentiasa bersedia menghadapi kecemasan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 510 anggota daripada 60 pasukan dari premis seperti kilang, hotel dan hospital menyertai pertandingan yang mempertandingkan tiga iaitu kategori industri berat, hotel dan ‘bomba terkuat’. - Bernama