Kerajaan boleh salahkan BN tetapi realitinya aset TH meningkat

Najib turut berkongsi statistik aset bersih TH pada 2008 hingga 2017 di laman Facebooknya hari ini.
Najib turut berkongsi statistik aset bersih TH pada 2008 hingga 2017 di laman Facebooknya hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan PH boleh terus menyalahkan BN berhubung pemberian hibah Tabung Haji (TH) yang rendah walaupun realitinya aset bersih TH meningkat 3.25 kali ganda pada akhir 2008 hingga 2017.

Beliau berkata, pada akhir 2008, aset bersih TH naik 3.5 kali ganda dari RM21.1 bilion kepada RM74 bilion pada akhir tahun 2017

“Realitinya ialah purata Hibah dan Hibah Haji tahunan selama 9 tahun ini adalah 6.75 peratus. Realitinya ialah pada tempoh sembilan tahun ini, TH telah membantu ratusan ribu umat Islam untuk selamat menunaikan Ibadah Haji.

“Dan realitinya juga ialah TH di bawah BN dahulu telah mencapai visi dan misi utama TH untuk memperkasakan ekonomi ummah serta memudah dan menyempurnakan urusan jemaah ke arah Haji Mabrur,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.

Jadi katanya, pemberian hibah TH yang rendah iaitu 1.25 peratus kepada pendeposit bukan kerana silap kepimpinan dahulu sebaliknya ekonomi dan pasaran saham menjunam selepas PRU14.

“PH boleh cuba ‘tai-chi’ atau tuduh macam-macam tetapi ini adalah realiti yang tidak dapat dinafikan,” katanya.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sebelum ini menjelaskan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pernah menulis surat kepada bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertarikh 23 Disember 2015 yang memberi amaran TH mengalami masalah kekurangan aset.

Katanya, surat itu juga memberi amaran keras bahawa TH tidak boleh mengisytiharkan hibah memandangkan nilai aset kurang daripada nilai tanggungan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, kerajaan BN ketika itu tidak mempedulikan amaran tersebut dan terus membayar hibah yang tinggi walaupun keuntungannya tidak mencukupi dan bakal berdepan dengan risiko kestabilan kewangan.

Bukan itu sahaja, Mujahid berkata, pembangkang pada 2016 turut membangkitkan isu kerugian TH tetapi dinafikan pihak pengurusan lama termasuk menteri dan timbalannya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Malah ketika itu katanya, BN tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyelamatkan TH dan hanya membiarkan segala keputusan serta tindakan dibuat oleh pihak pengurusan TH yang mana ahli lembaga pengarahnya kebanyakan terdiri daripada pemimpin UMNO sehingga akhirnya membawa kerugian yang teruk kepada institusi kewangan Islam itu.