Hina Agong tindakan kurang ajar: NGO

Razali (tiga, kiri) dan Mohd Noor (empat, kanan) bersama wakil NGO lain hadir membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, susulan tular gambar berbaur penghinaan terhadap Agong.
A
A

KUALA LUMPUR - Perbuatan pemilik Facebook 'Sabah - Sarawak Merdeka' memuat naik gambar cercaan dan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong di laman sosial Facebook adalah tindakan kurang ajar.

Pengerusi Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN), Mejar Razali Zakaria (B) berkata, ini adalah satu penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong yang juga ketua agama Islam negara.

Menurutnya, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus bertindak segera.

"Jika individu itu boleh memuat naik gambar menghina Yang di-Pertuan Agong, dia juga boleh memuat naik gambar untuk menghina orang lain.

"Usah tunggu keadaan sudah pecah-belah baru hendak bertindak. Ini adalah faktanya, dan mana tindakan pihak berkuasa?," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, tadi.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Jualan Jimat Harapan Rakyat Malaysia (JJHR), Datuk Mohd Noor Ali Akbar berkata, penularan gambar itu adalah perbuatan yang tidak wajar dan biadab.

Katanya, salah satu rukun negara adalah taat kepada raja dan negara. Itu perlu dipatuhi.

"SKMM dan PDRM harus menangkap individu berkenaan untuk dibawa ke muka pengadilan agar dikenakan hukuman," katanya.

Laporan polis itu disertai 14 pertubuhan bukan kerajaan antaranya Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas).

ARTIKEL BERKAITAN: Polis terima 91 laporan kes hina Agong

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan pihaknya telah menerima 91 laporan polis sehingga semalam. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia