Tony Pua mahu Najib henti muslihat berlian merah jambu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menggesa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghentikan muslihat berlian merah jambu dan mengelirukan rakyat bahawa tidak wujud pembelian rantai berlian dengan wang 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, dalam wayang skandal berlian merah jambu itu, Najib seperti biasa dilihat cuba memainkan watak yang dianiayai dan ditindas.

“Hakikatnya Najib sedang menyembunyikan fakta pembelian berlian merah jambu dan seterusnya menutup dosa pengubahan wang haram 1MDB.

“Najib tidak boleh sembunyikan... sebenarnya terdapat dua versi penceritaan berbeza sedang berlegar. Cerita yang sedang digembar-gemburkan oleh beliau hanya tentang berlian dan barang kemas yang dibawa masuk oleh ejen serta dibawa masuk ke Malaysia untuk dilihat oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

“Akan tetapi skandal sebenar berlian merah jambu yang sering diketengahkan dalam kes 1MDB ini, merujuk kepada rantai berlian merah jambu 22-karat yang ditempah melalui ahli perniagaan kontroversi, Jho Low untuk Rosmah dan dibayar dengan duit yang berpunca daripada 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Rosmah syukur isu berlian merah jambu terbukti fitnah

ARTIKEL BERKAITAN: Berlian merah jambu: Ramai minta maaf selepas sah fitnah

Tony berkata, kes tersebut hakikatnya telah dihuraikan dalam pendakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), di mana laporan menunjukkan berlian itu telah dibeli daripada pereka berlian yang bertapak di New York, Lorraine Schwartz Inc (Schwartz).

Artikel Berkaitan:

“Pada 23 September 2013, Schwartz sekali lagi berjumpa dengan Jho Low dan Rosmah di Hotel Mandarin Time Warner, New York untuk menunjukkan gambar rajah rantai berlian yang telah direka.

“Schwartz telah mengeluarkan dua invois ke atas pembelian berlian ini. Invois yang pertama bertarikh 3 Julai 2013 berjumlah AS$23 juta (RM97 juta) untuk berlian '22.17carat Natural Fancy Intense Pink VS2 clarity (GIA#2115637296) Cut-Cornered Square Modified Brilliant Cut diamond.'

“Invois kedua bertarikh 31 Julai 2013 pula untuk rantai berlian yang akan memegang berlian dengan harga AS$4.3 juta (RM17.7 juta), yang bertulis 'one graduate fancy intense pink and oval white diamond necklace with interchangeable pendant to ring',” jelasnya.

Tambahnya, menurut bukti dakwaan DoJ, kesemua invois tersebut telah dibayar dengan dana yang disalurkan daripada AS$681 bilion (RM2.6 bilion) yang telah dimasuki ke dalam akaun peribadi Najib di Ambank, yang berpunca daripada pinjaman bon 1MDB pada tahun 2013.

“Akhirnya, rantai berlian merah jambu dihantar kepada Rosmah melalui rakannya di Hong Kong pada 7 Mac 2014,” katanya.

Tony turut mencabar Najib dan isterinya, Rosmah untuk menafikan secara spesifik ke atas kesemua dakwaan dan bukti yang telah dikemukakan oleh DoJ.

“Apa sebabnya, sehingga hari ini, pasangan suami isteri ini tak pernah menafikan perkara ini?” katanya.