Desakan MCA mahu Nie Ching letak jawatan keterlaluan

Teo Nie Ching
A
A

SHAH ALAM - Gesaan MCA supaya Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching meletak jawatan kerana membenarkan Program ‘Duty Of A Muslim As A Profesional’ oleh pendakwah, Dr Zakir Naik di Universiti Utara Malaysia (UUM) Khamis depan adalah keterlaluan dan disifatkan sebagai cubaan berpolitik secara murahan.

Exco Armada yang juga Felo Akademik UUM, Muzzammil Ismail mendakwa, kenyataan yang dibuat oleh Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker kelmarin, menunjukkan pendirian MCA sebagai penyebar Islamophobia sejak dahulu.

Sedangkan katanya, wacana yang dianjurkan itu adalah bersifat akademik dan tiada paksaan hadir kepada pelajar mahupun staf universiti berkenaan.

“Ini bukan kali pertama kenyataan berbaur kebencian pada Islam dan menyentuh sensitiviti agama serta kaum. Menggesa Timbalan Menteri untuk meletak jawatan dan dikenakan tindakan disiplin adalah keterlaluan dan cubaan berpolitik secara murahan.

ARTIKEL BERKAITAN: UUM tak paksa mahasiswa hadir program Dr Zakir Naik

“Sedangkan wacana ini adalah bersifat akademik dan tiada paksaan kepada pelajar mahupun staf universiti. Universiti hari ini sebagai gedung ilmu bebas (autonomi) memanggil sesiapa,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Malah katanya, apa yang meragukan adalah UMNO dan Pas menutup sebelah mata sambil melaung-laung hidup Islam dan menyalahkan DAP sebagai kafir harbi sedangkan parti komponen BN iaitu MCA secara terang-terangan menolak Zakir.

“Ini betul-betul lakonan politik oportunis. Tekanan politik dan sentimen kebencian yang melampaui limitasi keharmonian sebegini perlu dikecam. Di universiti terkemuka luar negara, wacana terbuka sebegini tiada terpisah,” katanya.

Kelmarin, Lian Ker membidas Nie Ching yang mengatakan pihak UUM mempunyai autonomi untuk mengundang Zakir dalam program mereka.

Lian Ker menggesa Nie Ching meletakkan jawatan kerana menurutnya, Timbalan Menteri sepatutnya menasihatkan UUM mengenai kemungkinan kerosakan dan pengaruh negatif Zakir terhadap penuntut universiti berkenaan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof Madya Dr Hendrik Lamsali pula berkata, program diskusi ilmiah ini anjuran pelajar di bawah Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM dan pihak universiti tidak memaksa pelajarnya untuk menghadiri program berkenaan.

Katanya, program itu bertujuan mendedahkan penuntut kepada realiti sosial dan isu semasa khususnya penuntut UUM yang bakal menjadi pengurus dan golongan profesional pada masa depan.

Hendrik berkata, penuntut juga dinasihatkan supaya sentiasa berfikiran terbuka dan beradab dalam menangani perbezaan pendapat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Putrajaya tidak akan mengusir Zakir, yang merupakan pemastautin tetap Malaysia, walaupun terdapat permohonan ekstradisi dari India.

Pihak berkuasa India sedang menyiasat pendakwah tersebut atas tuduhan pengubahan wang haram dan membuat ucapan kebencian.

Bagaimanapun, Zakir mendakwa beliau menjadi mangsa tuduhan palsu daripada kumpulan fanatik agama di India yang mahu mencemarkan nama baiknya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia