Pesara guru kerugian RM59,000

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang pesara guru wanita mengalami kerugian RM59,900 selepas membeli lot tanah yang ditawarkan individu bergelar Datuk menerusi laman sesawang pengiklanan lima tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa, 57, sebelum itu terlihat satu tawaran penjualan lot tanah dengan harga RM60,000 di kawasan Bukit Hijau, Kuala Selangor, Selangor pada Mac 2014.

"Tertarik dengan tawaran itu, mangsa telah menghubungi talian tertera, dan bercakap dengan seorang wanita sebelum mengarahkan mangsa menghubungi pengurus syarikat berkenaan iaitu seorang lelaki bergelar Datuk bagi pembelian lot tanah tersebut.

"Selepas melihat lot tanah yang ditawarkan serta perbincangan dibuat, mangsa diminta membuat bayaran 10 peratus sebagai tanda persetujuan dengan pembayaran RM6,000, dan pembayaran dibuat melalui sebuah bank di Jerantut pada April 2014," menurutnya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Bayaran baki katanya kemudian telah dibuat dalam bentuk bank draf sebanyak RM54,000 pada bulan yang sama.

Wazir berkata bagaimanapun, pada September tahun yang sama mangsa sekali lagi telah diminta membuat bayaran proses penukaran status tanah sebanyak RM3511.90 namun mangsa tidak bersetuju dengan permintaan berkenaan.

Katanya setelah dihubungi selepas itu suspek telah memberi pelbagai alasan sehingga mangsa membatalkan niat untuk membeli lot tanah berkenaan.

Sehingga kini, katanya lot tanah yang tawarkan berkenaan masih belum ditukar ke atas nama mangsa dan hanya menerima pulangan RM100 daripada wang yang telah dibayar kepada suspek.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa yang merasa ditipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan. -Bernama