Pergi mengundi dengan kaki berbalut

Mohd Khairul ketika ditemui di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rantau di sini, hari ini. - Foto Adam Amir Hamzah
Mohd Khairul ketika ditemui di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rantau di sini, hari ini. - Foto Adam Amir Hamzah
A
A
A

SEREMBAN - Hadir dengan kaki berbalut dan berkerusi roda tidak mematahkan semangat seorang pemuda, Mohd Khairul Ilyasa Zainal, 31, untuk turun mengundi hari ini.

Menurut Mohd Khairul, dia mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja bulan lalu.

Katanya, tulang kaki kanannya hancur dan masih perlu menjalani beberapa pembedahan selepas ini.

"Akibat kemalangan itu, saya ditahan hampir sebulan di wad. Namun, saya dibenarkan keluar wad lebih awal.

"Pada mulanya saya fikir tak dapat mengundi tapi Alhamdulillah ada rezeki juga. Atas rasa tanggungjawab sebagai rakyat, saya datang juga hari ini," katanya ketika ditemui di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rantau di sini hari ini.

Mohd Khairul berkata, dia hadir ditemani isterinya yang sarat mengandung.

"Memang agak payah untuk kami berdua bergerak, tetapi kami tidak mahu melepaskan peluang mengundi," katanya.

Dia juga berpuas hati kerana proses mengundi berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

"Proses undian mudah kerana dengan keadaan saya ini, saya dibenarkan terus mengundi tanpa perlu beratur. Parkir kereta juga dekat dan ada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membantu," katanya.