ECRL diteruskan: Dapat integrasikan hubungan Pantai Barat dan Pantai Timur

DR ALIAS ABDULLAH
A
A

SHAH ALAM - Kebaikan dengan meneruskan Projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) diakui dapat mengintegrasikan hubungan di antara Pantai Barat dan Pantai Timur dengan lebih tersusun.

Pakar Perancangan Bandar dan Wilayah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Datuk Dr Alias Abdullah berkata, ia turut sejajar dengan hasrat untuk meningkatkan mutu sistem jaringan rangkaian kereta api di negara ini terutama di Pantai Timur.

“ECRL membolehkan mobiliti penduduk dan pergerakan pengguna menjadi lebih cepat dan jelas.

“Saya nampak ada kemungkinan besar, apabila projek ini siap, ia dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas ke Pantai Timur terutama waktu hari raya di Karak dan Gua Musang.

“Selain dengan kemudahan ini (ECRL), boleh mengurangkan kemalangan jalan raya ketika waktu malam, kerana ECRL mungkin dikawal secara automatik yang lebih sistematik dan selamat,” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: ECRL diteruskan dengan pengurangan kos RM21.5 bilion

Mengulas mengenai perubahan jajaran laluan ECRL yang baharu, Alias berkata, ia masih memberikan kebaikan kepada penduduk sekitar kerana dapat menyerlahkan pendapatan penduduk Pantai Timur yang majoritinya Melayu.

"Paling penting dengan adanya ECRL, ia dapat mengurangkan jurang perbezaan ekonomi di kawasan Barat dan Timur.

"Jadi untuk mencapai matlamat memudahkan rakyat, projek ini perlu dilaksanakan dengan segera," katanya.