Skandal Felda sama teruk 1MDB

A
A
A

KERTAS Putih Felda yang dibentangkan di Parlimen mendedahkan antara lain pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menggunakan dana RM2.7 bilion diperuntukkan kepada Felda untuk biayai kempen pilihan raya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali yang membentangkan Kertas Putih berkenaan menyebut masalah Felda bermula ketika agensi itu cuba mempelbagaikan pelaburan untuk meraih lebih keuntungan dengan menubuhkan anak syarikat tiada kaitan dengan sektor perladangan.

Audit forensik menyebut antara kelemahan yang berlaku dalam pentadbiran agensi tersebut termasuklah pembayaran melebihi harga pasaran.

Turut disebut ialah kegagalan memaklumkan kepada lembaga pengarah Felda berkenaan keputusan pelaburan, amalan perakaunan yang teruk, pengabaian laporan risiko dan pencabulan Dasar Pelaburan Felda.

Semua kelemahan tersebut mengakibatkan agensi itu kehilangan RM berbilion-bilion. Pendek kata terlalu banyak kemusnahan yang telah dilakukan oleh pentadbiran terdahulu. Itu pun ada yang kata ‘Malu Apa Bossku.’ Kerajaan mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion kepada Felda dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan.

PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau tidak tahu menahu mengenai bayaran penyelesaian saman RM1.4 juta kepada Clare Rewcastle-Brown.

Bendahari Pas, Razman Zakaria dan beberapa pemimpin tertinggi parti itu juga memaklumkan tidak mengetahui bayaran tersebut. Tetapi tokoh korporat bernama Rameli Musa mengaku telah membuat bayaran tersebut. Ertinya memang ada bayaran untuk menyelesaikan saman Hadi terhadap Rewcastle-Brown di luar mahkamah.

Jadi tidak perlulah berdalih-dalih dan berding-dong-ding-dong lagi. Orang tidak kira siapa yang bayar. Orang cuma hendak tahu ada bayar atau tak ada bayar!

Artikel Berkaitan:

ADA peraturan baharu kerajaan dikenakan ke atas semua pemandu perkhidmatan e-hailing seluruh negara. Bermula 12 Julai nanti pemandu e-hailing, tidak kira sementara atau penuh masa mesti memiliki lesen memandu perkhidmatan awam (PSV).

Maka banyak syarikat yang mengendalikan perkhidmatan berkenaan mengeluh, bimbang ramai pemandu mereka akan berhenti kerja.

Menurut mereka, peraturan baharu ini menyulitkan pemandu kerana terpaksa membayar RM800 untuk mendapatkan lesen berkenaan, di samping kos lain untuk pemeriksaan Puspakom, kesihatan dan insurans.

Kini terdapat kira-kira 165,000 pemandu e-hailing, separuh daripadanya sebagai pekerjaan sementara. Kita juga mempunyai kira-kira 50,000 pemandu teksi. Pemandu tentu tidak suka kerana terpaksa mengeluarkan modal untuk peraturan baharu ini.

Tetapi dasar baharu ini patut diteruskan demi keselamatan pengguna atau penumpang. Sama ada sementara atau pemandu tetap, perkhidmatan ini adalah satu perniagaan; maka perniagaan apa pun mesti mengeluarkan sedikit modal.

PENYIMPAN Tabung Haji (TH) mungkin kecewa menerima dividen hanya 1.25 peratus seperti diumumkan baru-baru ini. Almaklumlah mereka yang telah terbiasa sebelum ini menerima laba lumayan – tidak pernah kurang enam peratus – tidak dapat menerima hakikat kali ini menerima hibah paling rendah.

Meskipun kecewa, tidak ada yang secara beramai-ramai menutup akaun mereka, sebaliknya akan terus kekal untuk menjadikan TH sebagai tabungan.

Mereka sedar simpanan di TH adalah untuk tabungan memudahkan ke Makkah, bukan semata-mata untuk mengaut keuntungan yang tinggi. Kalau hendak dividen tinggi, melaburlah di tempat lain yang mungkin menawarkan faedah tahunan lumayan, tetapi kesuciannya diragui.

TEMPOH mendidik berhubung larangan merokok di tempat makan berakhir Julai ini, selepas itu sesiapa sahaja yang melanggar peraturan akan didenda.

Kompaun seperti termaktub di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Akta Makanan 1983, ialah denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Sejak larangan merokok di tempat makanan bermula awal tahun ini, pengusaha restoran mengeluh kerana perniagaan merosot tidak dikunjungi perokok yang selama ini menjadi pelanggan utama. Ada yang mendakwa perniagaan terjejas hingga 50 peratus, malah ada yang terpaksa menutup kedai kerana pelanggan terus merosot.

Biarlah pelanggan lari, restoran kurang sambutan, kita jangan sekali-kali membuat pusingan-U dalam isu larangan merokok ini. Kita kena tegas menegakkan hak sebahagian besar yang tidak merokok, bukan mempertahankan hak hanya sebahagian kecil yang suka berasap-asap.

AKHIR kalam, masih mengenai rokok, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye menasihatkan orang ramai agar mengubah sikap dengan tidak merokok, mengurangkan tabiat merokok atau terus berhenti merokok.

Katanya, kalau hendak berhenti merokok, perkhidmatan dan nasihat disediakan secara percuma di 731 klinik kesihatan dan 46 hospital kerajaan. Bagi perokok tegar, buatlah kempen macam mana pun, mereka akan tetap menyedut asap. Walaupun perkhidmatan percuma, nasihat percuma, mereka rela membayar untuk terus merokok.

Maka golongan seperti ini, tidak perlu diberi nasihat, biarlah mereka terjun dengan labu-labunya...

* Tok Perak