PRU15: Keputusan pusat pengaruhi Pahang bentuk kerajaan negeri

Dr Hamdan, Wan Emril
Dr Hamdan, Wan Emril
A
A
A

KUANTAN - Pembentukan kerajaan Pahang akan dipengaruhi keputusan pimpinan Perikatan Nasional (PN) sama ada memilih untuk bersama BN atau Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk sebuah kerajaan dengan majoriti selesa.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Dr Hamdan Che Mohd Razali berkata, itu naratif politik yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kalau ikut sejarah politik selepas 2018, saya lihat kerajaan negeri termasuk Pahang mengikuti keputusan pucuk pimpinan dibuat di peringkat pusat. Jika di peringkat pusat BN sebagai contohnya mahu bergabung dengan PN atau PH maka saya rasa negeri akan mengikutinya.

"Saya berpandangan begini kerana setiap tindak tanduk yang dibuat di peringkat pusat akan mempengaruhi negeri, cuma yang bezanya sekarang, kita masih tidak mengetahui BN akan bersama dalam gabungan mana. Jika bersama PH, BN masih boleh membentuk kerajaan begitu juga dengan PN," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pahang mempunyai 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan daripada jumlah itu, PN beroleh 17 kerusi, BN pula 16 dan PH hanya lapan kerusi.

Bagi membentuk kerajaan negeri, parti yang bertanding memerlukan majoriti mudah namun tiada parti yang bertanding berjaya memperolehnya selepas keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerusi DUN Tioman ditangguhkan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia pada jam 3.30 pagi Sabtu ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.

Mengulas lanjut, Che Hamdan menjelaskan hanya dengan kerjasama politik sahaja boleh menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, perkara sama pernah berlaku di beberapa negeri yang menubuhkan kerajaan menerusi gabungan parti politik.

"Dalam situasi sekarang, kita tengok mungkin PH boleh jadi penentu antara PN dan BN, jadi itu atas perunding antara parti yang kuat dengan parti yang sedikit atau sebaliknya," ujar beliau.

Seorang lagi penganalisis politik dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Wan Emril Wan Embong menjelaskan teori gabungan parti politik perlu dilakukan bagi membentuk kerajaan.

Tegasnya, situasi dihadapi Pahang sama seperti kerajaan pusat yang gagal membentuk majoriti mudah bagi kerusi Parlimen.

"Ada pelbagai versi gabungan politik yang masih menjadi tanda tanya sama ada PH- BN atau PN bersama BN atau antara PH dan PN.

"Saya lihat mana-mana gabungan pun dijangka akan membentuk majoriti selesa di DUN. Namun pembentukan kerajaan itu akan banyak berpandu kepada kerajaan Persekutuan," kata beliau.