Koperat sumbang RM50,000 bina surau

Majlis Perasmian dan Penyerahan Sumbangan disempurnakan Ridzuan (tengah) kepada Fazli (kiri).
Majlis Perasmian dan Penyerahan Sumbangan disempurnakan Ridzuan (tengah) kepada Fazli (kiri).
A
A
A

KUALA NERUS - Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn Bhd (Koperat) menyumbang sejumlah RM50 ribu bagi menampung kos pembinaan Surau Hidayah di Taman Koperat Peradong.

Pengerusi Koperat, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Taman Koperat Peradong mempunyai 81 unit rumah teres, 74 unit rumah berkembar dan 10 unit kedai dan berharap surau bakal dibina dapat dimanfaatkan.

"Diharap dengan sumbangan ini juga akan dikurniakan keberkatan supaya perjalanan syarikat lebih lancar dan berkeuntungan," katanya berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Sumbangan itu, petang semalam.

Terdahulu, majlis yang diadakan di Taman Korperat Peradong itu dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim.

Sementara itu, Ridzuan yang juga ADUN Buluh Gading berkata, sumbangan daripada pihak korporat seperti ini akan dapat mempercepatkan lagi pembinaan surau bagi kegunaan orang ramai khususnya yang tinggal di taman perumahan berkenaan.

“Saya berharap masyarakat dapat menyumbang dalam pelbagai bentuk sama ada dari segi kewangan ataupun tenaga kerja, bagi menjayakan pembinaan surau berkenaan.

“Pembinaan sesebuah surau dalam satu-satu komuniti sangatlah penting bagi mengeratkan ukhuwah dan perpaduan komuniti," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Surau Hidayah, Fazli Abd Jalil pula berkata, pembinaan surau itu menelan perbelanjaan sebanyak RM350,000 dengan keluasan 1,950 kaki persegi.

Artikel Berkaitan:

“Pembinaan surau ini bermula sebulan yang lalu dan dijangka siap sebelum Ramadan tahun depan. Ia dapat memuatkan 100 orang jemaah dalam satu-satu masa," katanya.