Keputusan teruskan ECRL tepat pada masanya: Saifuddin

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan penyelesaian antara Malaysia dan China dalam pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai 'keputusan yang tepat pada masanya'.

Beliau berkata ini kerana selain mengukuhkan hubungan bilateral antara Kuala Lumpur dan Beijing, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dijadualkan menghadiri forum di China hujung bulan ini.

"Penyelesaian rundingan ini membolehkan kedua-dua pihak untuk 'move on' dan berbincang perkara lain berkaitan hubungan bilateral antara Kuala Lumpur dan Beijing," katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam meraikan peserta Program 'Familiarization Visit for Diplomatic Corps to Pahang' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh yang juga Anggota Parlimen Kuantan dan Rektor UIAM Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak.

Saifuddin menambah keputusan meneruskan ECRL pada kos lebih murah dan melibatkan jajaran baharu juga adalah keputusan mustahak yang dapat dicapai oleh kerajaan Pakatan Harapan kerana kos asalnya terlalu tinggi.

Sementara itu, Fuziah juga mengalu-alukan keputusan untuk meneruskan pelaksanaan ECRL kerana apabila siap kelak, membawa limpahan ekonomi kepada penduduk negeri ini.

"ECRL merupakan laluan darat yang cepat untuk ke Pantai Timur dan ini membolehkan kehadiran pelancong dipertingkatkan selain penghantaran kargo, yang kedua-duanya berkaitan ekonomi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa projek ECRL akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Wakil Khas Pedana Menteri Tun Daim Zainuddin pula dilaporkan berkata jajaran baharu ECRL ialah dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang. - Bernama