Jarak landasan ECRL dikurangkan 40km: Tun Daim

Daim Zainuddin
Daim Zainuddin
A
A
A

BEIJING - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula pembinaannya akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer (km) selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer, kata Tun Daim Zainuddin.

Daim yang merupakan Wakil Khas Perdana Menteri berkata, jarak landasan baharu yang bakal dibina itu meliputi sejauh 648 kilometer berbanding rancangan awal sejauh 688 kilometer.

Bercakap kepada media Malaysia di Kedutaan Malaysia di sini, hari ini, beliau yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan berkata ciri lain seperti landasan berkembar bagaimanapun masih dikekalkan sepertimana perjanjian asal.

“Beberapa stesen akan turut digugurkan pembinaannya seperti Gombak manakala jajaran baharu yang diperkenalkan adalah di Jelebu, Negeri Sembilan.

"Berikutan itu, jajaran baharu sekarang ialah dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang,” katanya.

Cadangan asal projek ECRL itu menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan.

Projek ECRL itu dimulakan oleh kerajaan BN sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan PH berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Terdahulu, Malaysia-China menandatangani perjanjian tambahan (SA) ECRL di sini pada 11 pagi waktu tempatan, membabitkan wakil Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL itu dikurangkan kepada RM44 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Mengulas lanjut mengenai rundingan perjanjian yang telah diusahakan sejak Julai tahun lepas itu, Daim berkata projek pembinaan ECRL itu akan turut dimulakan semula secepat mungkin.

Ditanya mengenai pengurangan faedah pinjaman terbabit, beliau berkata perkara itu akan diperincikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada satu sidang media, Isnin ini.

“Perkara itu akan diperincikan oleh Perdana Menteri. Tetapi secara amnya, jumlah itu akan berkurangan seiring pengurangan jumlah pinjaman baharu,” katanya.

Selain itu, Daim juga yakin pemeteraian perjanjian tambahan baharu ini akan mengeratkan lagi hubungan Malaysia-China.

“Kita percaya ini juga merupakan satu kepercayaan baharu kepada pelabur-pelabur China untuk terus melabur di Malaysia," katanya. - Bernama