Rumah terbakar, warga emas merangkak selamatkan diri

Keadaan rumah mangsa di Kampung Tebuk Buluh, Selekoh yang musnah dalam kebakaran, hari ini.
A
A

HUTAN MELINTANG - Seorang warga emas melecur di tangan ketika merangkak menyelamatkan diri selepas rumahnya terbakar di Kampung Tebuk Buluh Selekoh, kira-kira jam 1.40 petang hari ini.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang, Rosli Wan Chik berkata, wanita berusia 67 tahun itu dipercayai mengalami masalah kesihatan dan tidak begitu berupaya untuk berjalan.

"Kebetulan kebakaran berlaku ketika wanita itu bersendirian sementara suaminya menunaikan solat di masjid berhampiran.

"Kejadian hanya disedari jiran sebelum segera menghubungi bomba," katanya.

Keadaan sebuah rumah di Kampung Tebuk Buluh, Selekoh yang musnah dalam kebakaran, hari ini.
Keadaan sebuah rumah di Kampung Tebuk Buluh, Selekoh yang musnah dalam kebakaran, hari ini.

Menurutnya, panggilan kejadian itu diterima pada jam 1.49 petang dan kebakaran telah memusnahkan hampir 80 peratus rumah.

"Mangsa bagaimanapun sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting termasuk beg tangannya, dia telah dihantar ke Klinik Kesihatan Rungkup untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata, operasi memadam dan mengawal kebakaran mengambil masa hampir tiga jam sebelum tamat sepenuhnya pada jam 4.49 petang.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia