Wanita mati lemas di air terjun Lata Payung

Anggota bomba membantu membawa turun mangsa ke bawah dari tempat kejadian. Gambar kecil, Suria Awi.
A
A

PERMAISURI - Kegembiraan seorang ahli Kelab Zumba Kuala Krai mandi di air terjun Lata Payung, Sungai Tong di sini bertukar tragedi apabila dia ditemui mati lemas.

Mangsa, Suria Awi, 46, dari Lorong Gemia, Jalan Panji Alam, Kuala Terengganu lemas ketika mandi bersama rakan-rakan dan anaknya kira-kira jam 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, mangsa bersama rombongan kelab zumba tiba di air terjun itu kira-kira am 9.50 pagi untuk berkelah.

Menurutnya, mangsa dan rombongan kemudian terus mendaki ke kaki Gunung Sarut sebelum sampai di tempat kejadian kira-kira 1 jam 30 minit kemudian.

“Sebaik sampai pada jam 10.40 pagi, mangsa dan rakan-rakannya terus mandi sebelum dia disedari lemas oleh rakan dan anaknya yang kemudiannya menariknya ke tebing.

“Rakan mangsa cuba memberi bantuan kecemasan namun tidak berjaya dan mangsa didapati telah meninggal dunia,” katanya.

Zulkifli berkata, rakan mangsa menghubungi bomba untuk membantu membawanya ke bawah.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kematian mangsa tidak ada unsur jenayah dan mayat dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia