Projek ECRL diteruskan hikmah besar kepada negara

 Barjoyai Bardai
Barjoyai Bardai
A
A
A
KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan kos yang lebih rendah disifatkan sebagai hikmah besar kepada negara.

Penganalisis ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, hikmah yang utama adalah dapat merapatkan kembali jurang hubungan antara Malaysia dan China.

“China akan menjadi rakan kongsi yang penting kepada Malaysia pada masa akan datang apabila Malaysia telah menyatakan tekad mengurangkan kebergantungan dengan negara Barat dan lebih rapat dengan negara Asia, khususnya China, India dan Indonesia.

“Pada masa akan datang juga, China akan menjadi sebuah negara yang terbesar di dunia dari segi ekonomi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, dengan termeterainya perjanjian baharu itu yang mencatat penjimatan lebih RM21.5 bilion daripada kos asal, ia dilihat satu pencapaian besar ke atas projek tersebut.

“Setakat ini, Malaysia telah berjaya membuat penjimatan lebih RM50 bilion daripada lebih RM300 bilion yang dilaksanakan melibatkan projek pembangunan. Ini satu pencapaian besar, dengan penjimatan sehingga 15 peratus oleh kerajaan,” katanya.

Selain itu katanya, projek tersebut adalah projek yang sangat penting untuk negeri Pantai Timur kerana akan menjanjikan asas tulang belakang pembangunan bagi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan.

“Tetapi ini adalah projek jangka panjang dan pertengahan, kerana akan mengambil masa untuk siap. Apabila siap kelak, kita (kerajaan) perlu promosikan dan membawa pelabur asing untuk menjana pendapatan.

“Jadi kita perlu memastikan kos pembiayaan RM44 bilion dibiayai pada kadar faedah yang rendah supaya walaupun pendapatan kita di tempoh pertengahan dan panjang akan sangat kecil, tetapi cukup menampung kos sekurang-kurangnya kos pembiayaan,” katanya.
Artikel Berkaitan: