MAPEX Pahang tawar 4,119 unit hartanah

ADUN Sungai Lembing, Sohaimi (dua, kiri) ketika membuat lawatan ke ruang pameran MAPEX.
ADUN Sungai Lembing, Sohaimi (dua, kiri) ketika membuat lawatan ke ruang pameran MAPEX.
A
A
A

KUANTAN – Sejumlah 4,119 unit hartanah dengan nilai keseluruhan RM1.286 bilion ditawarkan di Malaysian Property Expo (MAPEX) I 2019, yang berlangsung Jumaat hingga Ahad ini di Kuantan Parade.

ADUN Sungai Lembing, Datuk Sohaimi Mohd Shah berkata, MAPEX I 2019 yang dianjurkan Pemaju Perumahan (Rehda) Pahang itu dijalankan menerusi Kempen Pemilikan Rumah dengan penyertaan 22 pemaju selain turut disertai Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (SUK) serta Maybank Berhad.

Menurutnya, hartanah-hartanah yang ditawarkan ini termasuklah rumah-rumah teres setingkat dan dua tingkat, rumah berkembar (semi-D), kedai pejabat, banglo serta unit-unit komersial.

“Setiap tahun tanpa gagal Rehda Pahang terus-menerus menganjurkan program pameran hartanah yang merupakan platform terbaik dalam kalangan peserta MAPEX untuk memasarkan hartanah dan rumah-rumah mereka.

“Unit hartanah yang ditawarkan pada MAPEX kali ini adalah daerah Kuantan, Raub, Temerloh dan Jerantut Pahang; Kemaman, Terengganu dan Taman Melawati, Kuala Lumpur,” katanya pada majlis perasmian MAPEX I 2019 di Kuantan Parade di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Hartanah dan Pemaju Perumahan (Rehda) Pahang, yang juga Penasihat Penganjur MAPEX I 209, Wong Kok Loon; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur MAPEX, Zulkifli Sitor; Timbalan Pengerusi Rehda Pahang, Darren Pang dan bekas pengerusinya Chua Say Chai.

Dalam ucapannya, Sohaimi yang mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri amat menghargai kepimpinan Rehda Pahang yang mendahulukan kerajaan negeri dalam acara-acara yang dijalankan.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat perkara seumpama ini dan kerjasama bersama persatuan dalam memastikan rakyat Pahang berupaya memiliki rumah akan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

“Kempen ini adalah hasil kerjasama Rehda Malaysia dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Daripada 4,119 unit dengan nilai keseluruhan RM1.286 bilion, yang ditawarkan; 3,939 unit hartanah adalah di Pahang manakala 168 unit hartanah di Terengganu khususnya Kemaman dan 12 unit lagi di Kuala Lumpur,” katanya.

Sohaimi berkata, MAPEX kali ini menampilkan kelainan berbanding sebelumnya iaitu, dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Diharapkan pameran ini akan berjaya menarik minat orang ramai untuk membuat tempahan mereka.

“Ukuran kepada kejayaan pameran ini bukan terhad kepada jumlah kunjungan semata-mata yang lebih realistik ialah pada jumlah atau nilai tempahan yang diperolehi,” katanya.

Peserta pameran adalah kalangan pemaju yang ternama termasuklah pemaju bandar baharu dan termoden di Kota Sultan Ahmad Shah (KotaSAS) iaitu KOTASAS Sdn Bhd.