Vaksin meningitis palsu tiada dalam pasaran Malaysia

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan vaksin Mencevax ACWY yang digunakan untuk mencegah meningitis jenis A, C, W dan Y yang dipalsukan tiada dalam pasaran Malaysia.

Ketua pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semakan Vaccine Lot Release mendapati vaksin tersebut dengan nombor kelompok yang dinyatakan dalam kenyataan amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak pernah diimport untuk kegunaan rakyat negara ini.

"Kali terakhir vaksin Mencevax ACWY diimport oleh Malaysia adalah pada Julai 2017.

"Namun status pendaftaran vaksin tersebut telah luput pada 31 Mei 2018 dan vaksin tersebut tidak lagi berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 28 Mac lalu, WHO telah mengeluarkan kenyataan amaran mengenai penemuan vaksin Mencevax ACWY yang dipalsukan di Niger.

Dalam kenyataan sama, Noor Hisham menjelaskan, bermula 1 Januari 2015, PBKD telah mensyaratkan semua vaksin yang diimport perlu melalui Vaccine Lot Release sebelum dipasarkan.

"Ia penting bagi memastikan produk vaksin di pasaran adalah berkualiti, selamat dan berkesan.

"Maklumat vaksin yang telah diberikan sijil Lot Release boleh diperolehi daripada laman sesawang https://www.npra.gov.my," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noor Hisham berkata, KKM akan menjalankan pemeriksaan dari masa ke masa untuk memastikan tidak ada produk vaksin yang dipalsukan berada dalam pasaran negara ini.

"KKM juga mengingatkan hospital swasta dan klinik swasta untuk membeli stok bekalan vaksin daripada pembekal-pembekal yang berlesen sahaja dan tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang menawarkan vaksin dengan harga yang lebih murah daripada harga pembekal yang berlesen.

"Orang awam boleh menghubungi NPRA di talian 03-78835400 sekiranya terdapat vaksin yang meragukan," katanya.