Tindakan hina Agong gugat perpaduan kaum

Dr Md Farid Md Rafik
Dr Md Farid Md Rafik
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik menyifatkan tindakan pengendali laman Facebook yang menghina Yang di-Pertuan Agong tidak mencerminkan sikap sebagai seorang warga Malaysia dan boleh menggugat perpaduan serta kestabilan kaum.

Beliau yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial itu menggesa semua rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh dan terikut-ikut dengan tindakan tersebut.

"Saya mengharapkan status-status seumpama ini tidak dipanjangkan dan dikongsi di mana-mana laman sosial.

“Saya juga menggesa supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkenaan untuk menghentikan segera tindakan seumpama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau juga memohon semua rakyat Malaysia supaya melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang status atau cubaan menghina Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana isu yang disifatkan sensitif dan berisiko menggugat keharmonian kaum.

“Sekali lagi saya tegaskan bahawa kita akan terus menyokong dan mendokong institusi raja berpelembagaan dan tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat sebarang cubaan untuk mengganggu gugat perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Azmi Ali membuat satu laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan mengesahkan menerima laporan tersebut.

Artikel Berkaitan: