Gagal carum Perkeso, pemilik restoran nasi kandar dikompaun RM22,950

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN- Sebuah restoran nasi kandar dikenakan kompaun RM4,000 selepas gagal mendaftar dan membayar caruman seorang pekerjanya.

Pengurus Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Georgetown, Rafidah Abdul Rahim berkata, tindakan itu dikenakan selepas Skuad Perkeso Prihatin Georgetown mendapati pekerja restoran berkenaan tidak berdaftar dengan majikannya sejak 15 tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya menjalankan siasatan selepas menerima aduan dari waris pekerja berkenaan.

"Pekerja berkenaan terlibat dengan kemalangan jalan raya dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

"Mangsa disahkan mengalami kecederaan patah beberapa tulang rusuk kiri serta mengalami kecederaan dalaman," katanya dalam kenyataan media tadi.

Rafidah berkata, selain kompaun, pemilik restoran itu juga diarahkan membayar tunggakan caruman pekerja berkenaan sejak mula bekerja.

"Selain RM4,000, majikannya juga perlu membayar RM8,995 iaitu tunggakan caruman berserta Faedah Caruman Lewat Bayar berjumlah RM9,955. Jumlah keseluruhan yang telah dibayar oleh majikan tersebut adalah RM22,950," katanya.

Jelasnya, pemilik restoran nasi kandar terbabit didapati gagal mendaftar dan membayar caruman pekerja seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Artikel Berkaitan:

"Majikan ini juga gagal mematuhi Peraturan 17(1)(2) Peraturan-peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 apabila tidak memaklumkan atau melaporkan kemalangan yang berlaku ke atas pekerja tersebut kepada Perkeso.

"Oleh itu, kita memberi amaran kepada semua pengusaha nasi kandar yang belum berdaftar dan membayar caruman pekerja mereka untuk segera berbuat demikian," katanya.

Menurutnya, arahan itu bukan sahaja kepada pekerja tempatan malah semua pekerja asing yang sah dan bekerja di restoran nasi kandar.

"Kesemua pekerja sama ada tempatan atau pekerja asing yang sah, majikan wajib mendaftarkan mereka dengan Perkeso mulai 1 Januari tahun ini. Kita meminta semua pekerja restoran nasi kandar membuat semakan pendaftaran.

"Sekiranya mereka mendapati majikan belum berbuat demikian, mereka boleh membuat aduan kepada Perkeso untuk tindakan susulan. Dengan adanya perlindungan di bawah Perkeso, ia bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh pekerja yang ditimpa bencana malah waris mereka juga, jika melibatkan kematian," katanya.