Najib beredar dari Kompleks Mahkamah KL

Najib (dua, kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa PAC, bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya. - Foto Bernama
Najib (dua, kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa PAC, bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, pada jam 12.12 tengah hari ini selepas menghadapi pertuduhan berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang berpakaian sut biru gelap kelihatan tenang sambil memberikan senyuman sebelum beredar menaiki kenderaan Proton Perdana berwarna hitam.

Turut meninggalkan kompleks berkenaan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy kira-kira satu jam sebelumnya.

Kedua-dua mereka enggan memberi sebarang ulasan berhubung kes berkenaan kepada media yang menanti di pekarangan kompleks mahkamah itu sejak 7 pagi tadi.

Najib hari ini didakwa Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Manakala Arul Kanda didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Najib.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan kes tersebut dan masing-masing diarahkan supaya membayar wang ikat jamin sebanyak RM500,000 seorang. - Bernama

Artikel Berkaitan: